Saturday, June 25, 2022

22 perkataan berbeza untuk rogol

Secara Rawak

Tidak ada hari tanpa rogol. Di Malaysia perkataan rogol begitu semarak digunakan sejak beberapa tahun belakangan ini.

Kejadian rogol baik oleh orang yang tidak dikenali, kekasih, jiran, malah darah daging sendiri menghiasi ruangan akhbar setiap hari.

Akhbar di Malaysia kelihatan hanya menggunakan perkataan berkenaan untuk perbuatan tidak berperikemanusiaan itu. Sebaliknya, di Indonesia, terdapat begitu banyak perkataan lain untuk merujuk perbuatan terkutuk itu.

Sebuah penelitian terhadap fenomena pemerkosaan dalam berita akhbar Kedaulatan Rakyat dan Suara Merdeka, misalnya, menemukan adanya 22 kata yang digunakan untuk menggantikan perkataan rogol atau perkosaan.

Perkataan tersebut ialah menggauli, merenggut kegadisan, mencabuli, menggagahi, menakali, dianui, dikumpuli, menipu luar dalam, digilir, dinodai, digarap, dihamil, korban cinta paksa dan dipaksa berhubungan intim.

Selain daripada itu, perkataan seperti berbuat tidak senonoh, memaksa bersetubuh, dihamil, memaksa memenuhi nafsu berahi, melakukan perbuatan asusila, dipaksa melakukan permainan ibu-ibuan, digelendang, dipaksa melayani, dan korban kuda-kudaan turut digunakan.

Inilah kelebihan akhbar dan majalah di negara 240 juta jiwa itu. Editor dan wartawannya begitu kreatif  mencipta, merekayasa dan memberikan perkataan dan tajuk berita dan rencana.

Mengikut pengamatan, tajuk rencana majalah, terutama dalam majalah terkemuka terbitan Jakarta seperti Tempo, Matra, Popular dan Gatra begitu kreatif, indah dan berkesan.

Sejauh yang berkaitan dengan penggunaan bahasa, pihak berkuasa dan akhbar kita memang ada berusaha  menggunakan perkataan yang berkonotasi ‘keras’.

Misalnya, penyalahgunaan dadah digantikan dengan penyalahgunaan najis dadah dan kemalangan jalan raya menjadi kecelakaan jalan raya.

Dengan menggunakan perkataan ‘najis’ dan ‘kecelakaan’,   pihak berkuasa mengharapkan agar rakyat atau pembaca akan berasa takut dan gerun, dan dengan itu, akan menjauhi perbuatan menghisap dadah, dan juga lebih berhati-hati di jalan raya agar mereka tidak turut terkorban.

Penggunaan perkataan ini adalah berkaitan dengan usaha pemujukan dan propaganda, dan dalam mana-mana teknik pemujukan dan propaganda, penggunaan bahasa yang berkesan amat penting bagi memastikan objektif  tercapai.

Persoalannya, sejauh manakah penggunaan perkataan tersebut mendatangkan kesan? Yang jelas, jumlah penagih dadah tidak pernah surut dan angka kematian di jalan raya terus meningkat, terutamanya menjelang hari-hari perayaan.

Namun, peningkatan tersebut bukan bermaksud bahasa yang digunakan telah gagal meninggalkan kesan, kerana banyak faktor lain lagi yang menyumbang kepada peningkatan tersebut.

Bahasa tidak bebas nilai; sebaliknya kosa kata dan bahasa tidak neutral dan bebas nilai. Sejauh mana kesan berita terhadap pembaca banyak ditentukan oleh bagaimana bahasa digunakan dan berita diolah.

Wartawan dan editor berkuasa atas pilihan kata yang hendak digunakan dalam berita atau rencana, baik pada bahagian judul mahupun struktur isi.

Mereka dapat memilih, memanipulasi, malah merekayasa perkataan dan tajuk tertentu bagi memastikan berita itu memberikan kesan yang diingini.

Di tangan editor yang mahir, bahasa merupakan alat yang tajam, dan dapat digunakan secara halus untuk membunuh musuh.

Justeru, ada pihak yang menganggap bahawa kesendengan yang berasal daripada bahasa ialah kesendengan yang amat berbahaya,  ibarat musuh yang menikam dari belakang. Kesannya halus tetapi menikam tajam, kadangkala di bawah sedar pembaca.

Dan, perhatikan pula bagaimana berita politik ditulis, terutama penggunaan perkataan oleh media yang prokerajaan ketika memberikan gambaran tentang parti pembangkang.

Pembaca surat khbar yang teliti akan dapat mengesan bagaimana kosa kata digunakan untuk memberikan gambaran tertentu terhadap diri dan parti yang diwakilinya, dan bagaimana perkataan yang berkonotasi negatif  digunakan untuk mencederakan  imej lawan. Penguasa dan akhbar propenguasa menggunakan eufemisme bahasa sebagai alat untuk memantapkan dan menonjolkan citranya di mata khalayak.

Mereka mencuba merasionalkan penggunaan bahasa untuk kepentingan politik, demi memenuhi agenda tertentu. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru