KUALA LUMPUR: Presiden MIC, menasihat agar para pemimpin parti komponen Barisan Nasional mengelak daripada terlibat dengan sebarang konflik yang dapat menjejaskan BN.

Sebaliknya, kata Datuk Seri Dr S.Subramaniam, semua parti komponen BN harus terus bersatu padu, dengan para pemimpinnya perlu saling menganggap parti komponen sebagai parti mereka

“Dalam BN, kita ada konsensus dan semasa mesyuarat, kita membincangkan pelbagai isu dan membuat keputusan (mengenainya),” katanya kepada pemberita di ibu pejabat MIC di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, merasmikan satu  pameran gambar sempena ulang tahun ke 70 parti itu.

Beliau berkata, sebarang kritikan terbuka dalam kalangan parti komponen pasti menjadi isu yang kelak boleh melemahkan BN.

“Parti-parti komponen BN harus mengelak terbabit dalam debat terbuka yang boleh memanfaatkan parti pembangkang,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Seri Ti Lian Ker  baru-baru ini menggesa UMNO mengubah strategi dan mengutamakan survival kesemua parti di dalam BN, bukan hanya tertumpu pada parti itu sendiri.

Sebelum ini,  Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bertelagah dengan pemimpin MCA itu.

Nazri berkata, adalah lebih baik bagi UMNO menjadi jaguh kampung berbanding menjadi seperti MCA, yang mempunyai bilangan kerusi sedikit di parlimen.

Kata Nazri, kejayaan MCA memenangi tujuh kerusi di parlimen pada pilihan raya lalu adalah undi penyokong jaguh kampung UMNO dan beliau mencadangkan agar parti itu meninggalkan BN untuk membuktikan mereka mampu menang tanpa bantuan daripada parti Melayu tersebut.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Nazri susulan desakan Lian Ker yang meminta UMNO agar tidak menggunakan taktik menakut-nakutkan bangsa lain semata-mata mahu memenangi hati pengundi Melayu.

Menurut Ti, taktik tersebut menghakis sokongan pengundi luar bandar di kawasan yang mempunyai penduduk majoriti Melayu dengan mengorbankan rakan-rakan gabungan BN yang lain.

Menurut Nazri, lebih baik jadi jaguh kampung dan menang 88 kerusi parlimen.

“MCA jangankan jaguh kampung, jaguh bandar pun tidak kerana Cina sendiri tak sokong dia,” beliau dipetik sebagai berkata. – Sarawakvoice