Saturday, December 3, 2022

Jasa pejuang kemerdekaan terhadap Islam

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, antara jasa besar yang ditinggalkan para pejuang kemerdekaan terdahulu ialah mengekalkan Islam secara tersurat dalam perlembagaan mahupun tersirat dalam pengamalan Islam.

Justeru, umat Islam hari ini berkewajipan  mengambil iktibar pengalaman sejarah silam bagi mengukuhkan kedudukan Islam di tanah air ini.

“Generasi awal telah  mewariskan kepada kita sebuah tanah air yang sepatutnya diurus berdasarkan perlembagaan yang disepakati untuk dipatuhi serta kontrak-kontrak sosial yang telah dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan khutbah.

Sebagai muslim, kata kenyataan itu, idealnya kita mahu negara ini menjadi sebuah negara Islam tulen yang kita sebebas-bebasnya melakukan segala ajaran Islam yang diambil dari al-Quran dan al- Sunnah.

“Namun kita terpaksa menerima realiti bahawa mustahil penjajah akan merelakan perkara itu berlaku,” ujarnya lagi.

“Apa pun latar belakang sejarahnya, kita tetap bersyukur kerana tersurat di dalam perlembagaan negara, Islam adalah agama Persekutuan,” tambahnya.

Justeru, khutbah itu menjelaskan, jika kita membuat sedikit perbandingan dengan negara-negara jiran, sepatutnya umat Islam di negara ini patut bersyukur.

“Ini kerana urusan agama Islam di negara ini dilihat seperti teratur yang mana beberapa hak umat Islam dilindungi,” katanya.

Ujarnya, ajaran sesat yang boleh menggugat keharmonian hidup beragama dikekang.

Hakikatnya, jelasnya lagi, semua ini terhasil apabila perlembagaan negara telah memberi keistimewaan kepada Islam dalam beberapa peruntukan undang-undang. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru