Saturday, December 3, 2022

World Quran Hour di Sarawak disambut sederhana, termasuk baca quran dalam bot

Secara Rawak

KUCHING: Tiga lokasi menjadi tumpuan penganjuran program World Quran Hour di Sarawak pada semalam.

Selain Pusat Islam Tun Abang Salahuddin di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), dua lokasi lain ialah di Masjid Darulhana, Petra Jaya dan di dalam bot donut di Tebingan Kuching .

Di Masjid Darulhana, lebih 120 jemaah hadir memeriahkan majlis tersebut termasuk sekitar 15 kanak-kanak.

Dengan dibimbing oleh pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak, San’ani Fauzi, mereka membaca surah Ar-Rahman secara bersama-sama, tepat jam 9.15 pagi sebelum menghayati terjemahannya.

Bagi penganjur program yang juga Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Kuching, Ramzen Ambi, harapan besar pihaknya adalah
untuk menyemai semangat cinta akan Al-Quran dan menjadikan Al-Quran isebagai budaya kehidupan masyarakat di negeri ini.

“Pada hari ini ada juga masjid-masjid lain yang menganjurkan program ini di tempat mereka sendiri, justeru di sini kita menganjurkannya secara sederhana.

“Ini sebagai permulaan. Insya-Allah…kalau mendapat sambutan yang lebih baik lagi, kita akan anjurkan dengan lebih besar pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Bagi pembimbing program, San’ani Fauzi, usaha ini perlu diteruskan dan disemarakkan di semua peringkat umur.

“Saya sarankan masyarakat Islam di negeri ini supaya terus membaca Al-Quran. Kepada yang masih belum fasih, sila hantarkanlah anak-anak kita ke kelas-kelas al-quran.

“Kemudian di rumah… kita akan membaca Al-Quran bersama-sama keluarga dan juga kita juga tadabbur Al-Quran.

“Ini yang paling penting. Tadabbur…bukan setakat membaca, kita memahami apakah kandungan-kandungan Al-Quran yang kita baca,” jelasnya.

Pengalaman menyertai World Quran Hour turut mengujakan peserta kanak-kanak, Mohamad Hamizan Mohamad Hamzah, 9 tahun.

“Saya sangat gembira dan seronok. Apatah lagi datang sini dan mengaji bersama-sama kawan-kawan. Program seperti ini harus selalu diadakan,” jelasnya.

Seorang lagi kanak-kanak, Aleesya Zaidell , 10 tahun , membuat persediaan rapi sebelum menyertai program ini.

“Saya mengaji di rumah dan memperbaiki bacaan sebelum bersama-sama ibu dan kakak mengikuti program ini,” katanya lagi.

Sementara itu, lebih 20 saudara baru terlibat dalam program yang sama yang dianjurkan di dalam bot donut sambil menyusuri Sungai Sarawak.

Selain membaca Al-Quran, seorang pembimbing disediakan dalam setiap bot untuk memberi tazkirah dan penerangan tentang ayat-ayat yang dibaca.

Seorang saudara baharu, Rashidah Abdullah, berkata ia pengalaman yang cukup istimewa bagi dirinya.

“Pengalaman yang baharu dan boleh diamalkan bersama-sama keluarga pada waktu petang.

“Ia mempelbagaikan kaedah membaca Al-Quran selain di rumah,” katanya lagi.

Bagi wakil Ooha Chill Donut Boat, Romero Salim, penajaan lokasi program ini bertujuan untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa membaca Al- Quran boleh dilakukan di mana-mana pun.

“Membaca Al-Quran sambil bersantai menyusuri sungai dengan bot adalah kaedah yang bukan sahaja istimewa, bahkan lain daripada yang lain.

“Kita berharap akan dapat terus melakukan penajaan seperti ini pada tahun akan datang,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru