Penumpang MAS, Maswings diharamkan guna Samsung Galaxy Note 7

0
26

KUALA LUMPUR: Atas dasar keselamatan, Malaysia Airlines (MAS) semalam mengeluarkan kenyataan untuk mengharamkan penggunaan telefon pintar Samsung Galaxy Note 7 kepada semua penumpang pesawatnya.

Dalam kenyataan kepada media, yang turut dikongsikan di laman sosial rasminya, syarikat penerbangan negara itu berkata, larangan penggunaan telefon pintar tersebut dikuatkuasakan serta-merta atas alasan keselamatan.

Difahamkan bahawa tindakan itu diambil berikutan laporan yang mengatakan beberapa unit bateri telefon pintar itu meletup, hingga mendorong Samsung menggantung penjualan model terbaharu tersebut.

Memetik Awani, maklumat mengenai larangan tersebut turut dimaklumkan oleh kru penerbangan ketika taklimat keselamatan sebelum berlepas dan sepanjang penerbangan.

“Menurut pihak MAS, keselamatan penerbangan dan penumpang menjadi keutamaan berhubung larangan itu.

“Selain penggunaan ketika berada di dalam kabin, MAS juga tidak membenarkan Samsung Galaxy Note 7 dibawa di dalam bagasi yang didaftar masuk.

Malah atas dasar keselamatan juga, pihak MAS tidak membenarkan perkhidmatan penghantaran kurier gajet berkenaan sehingga notis terbaharu dikeluarkan

Sementara itu di Miri, anak syarikat Malaysia Airlines, Maswings Sdn Bhd, turut mengambil tindakan serupa.

Memetik Bernama, penumpang tidak dibenarkan memasang atau mengecaj telefon model berkenaan ketika dalam penerbangan berkuat kuasa serta-merta.

“Peranti itu juga tidak dibenarkan disimpan di dalam bagasi yang telah dibuat pemeriksaan selain syarikat penerbangan itu tidak akan memenuhi sebarang permintaan untuk penghantaran kargo melibatkan peranti itu,” katanya.

Antara syarikat penerbangan utama lain yang turut melakukan larangan tersebut ialah Singapore Airlines, Qantas, Virgin Airlines dan Etihad.

Maswings beroperasi di Sarawak, Sabah dan Indonesia, termasuk bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Sementara itu, Samsung Electronics Co Ltd. menggesa pengguna telefon Galaxy Note 7 untuk memulangkan semula telefon pintar itu kepada syarikat berkenaan dengan kadar segera bagi mengehadkan risiko yang disebabkan peranti yang mudah terbakar itu.

Peneraju telefon pintar dunia itu pernah membuat kenyataan pada minggu lalu akan menggantikan semua telefon Note 7 di 10 negara termasuk di Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Terdapat laporan sebelum ini yang mengatakan bateri tersebut boleh meletup semasa sedang dicas atau digunakan menyebabkan Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat mengarahkan supaya penggunaan Note 7 dihentikan.

“Kami meminta semua pengguna mematikan telefon Galaxy Note 7 masing-masing dan akan menggantikan semua secepat mungkin.

Kami akan mempercepatkan penggantian peranti tersebut supaya pengguna tidak mengalami kesulitan semasa dalam proses penggantian,” kata Ketua Perniagaan Telefon Pintar, Samsung, Koh Dong Jin dalam satu kenyataan, yang dipetik agensi berita Reuters. – Sarawakvoice