Saturday, December 3, 2022

Najib ajak umat Islam hayati keteguhan hati Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. sempena Aidiladha

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengajak umat Islam di negara ini agar menghayati dan mengambil iktibar akan kecekalan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. dalam peristiwa korban yang dinukilkan dalam al-Quran.

“Semangat inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi sebuah perjuangan.

“Ibadah korban bukan sekadar ritual yang berkala tetapi meletakkan jiwa sejauh mana pengorbanan kepada agama Allah S.W.T dalam menjalani kehidupan sehingga mampu mengetepikan kepentingan diri dan tuntutan peribadi,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha hari ini.

Hari Raya Aidiladha akan disambut oleh umat Islam di negara ini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, setiap pengorbanan memerlukan ketabahan dan ia harus bermula daripada diri sendiri.

“Inilah yang kita pelajari daripada sirah Rasulullah S.A.W yang memberikan inspirasi dan kekuatan dalam perjuangan kita dalam membangunkan negara tercinta ini.

“Justeru, marilah kita menjadikan Aidiladha yang disambut pada tahun ini sebagai satu titik tolak untuk kita terus bermotivasi dan komited meningkatkan mutu dan nilai pengorbanan, agar kita tergolong dalam kalangan hamba Allah S.W.T yang dirahmati.

“Bersama kita berjuang dan berkorban membina masa depan negara yang lebih maju dan progresif sebagai sebuah negara Islam yang berteraskan Maqasid Syariah,” katanya lagi.

Dalam perutusan tersebut, beliau turut mengajak seluruh umat Islam agar mendoakan mereka yang berada di Tanah Suci agar selamat mengerjakan ibadah haji dan mendapat haji yang mabrur.

“Marilah kita sama-sama mengambil peluang hari-hari yang penuh barakah ini untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan yang bertambah dan berterusan bagi negara kita yang tercinta,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru