Saturday, December 3, 2022

Remaja lelaki Chechnya dakwa jumpa Rasulullah, wajib tengok video ini

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pemilik akaun Facebook: Ukty Mutiara memuat naik pada pagi Rabu lepas, video “A boy sees in a dream the prophet Muhammad pbuh” di Youtube yang ditonton sekitar 45,000 netizen.

Video ini yang juga dipaut oleh akaun Youtube: gsn2511 dari alamat Youtube asal akaun Maks TV 18 Mei lepas di https://www.youtube.com/watch?v=NLy_093qQ_s yang sudah ditonton hampir 200,000 netizen.

Video ini didakwa berkaitan seorang remaja lelaki Chechnya bernama Gabriel (Jibril, sebutan kurang jelas) yang terlantar di hospital sedang diawasi ahli keluarganya.

Di situ hadir wanita yang dipanggilnya ibu dan lelaki yang membantunya mengerjakan solat baring yang mungkin ayahnya.

Video ini dilatari sembang beberapa ahli keluarga dalam bahasa Chechnya (Rusia?).

Dalam video berdurasi sekitar 8 minit ini, remaja tersebut tampak mengalami kecederaan pada tangan kanannya, tetapi dia mampu mengangkatnya beberapa kali semasa melakukan takbiratul ihram.

Sambil mata terpejam, dia mengumandangkan azan, kemudian melakukan solat sunat dua rakaat dalam keadaan baring.

Selepas itu dia membaca nyaring al-Fatihah sebelum kelihatan memeluk seseorang tanda berpisah.

Dia menangis syahdu penuh sebak sambil menyebut nama “Muhammad” banyak kali dan mengucap dua kalimah syahadah.

Ketika si ibu mengejutkan Jibril dari tidur, tangannya masih cuba menjangkau seseorang sambil menyebut “Muhammad”.

“Nabi Muhammad di mana kamu?” tanya Jibril sambil tangannya teraba-raba.

Jibril tersentak ketika tersedar dari tidurnya, dia terpinga-pinga mencari seseorang di katilnya.

Ditanya apa yang berlaku, remaja tersebut menjawab dia berjumpa Nabi Muhammad SAW sambil menahan sedu-sedannya.

Ibunya dan lelaki tersebut menenangkannya. Si ibu mengusap air mata yang membasahi wajahnya dengan kain.

Video perkongsian kedua ini ditonton lebih 45,500 netizen dan dikongsi 2,934 setakat pagi Ahad sebelum bermula World#Quranhour seluruh dunia.

Kebanyakan netizen dari Malaysia dan Indonesia mengungkapkan komen “Subhanallah”, “Masya-Allah” dan “Walhamdulillah”.

Tak kurang ada yang mengaku menangis menontonnya.

Di Facebook, Asimah Yussoff menulis, “Allah hu akbar, Allah hu akbar, Allah hu akbar, sungguh beruntungnya anak muda ini, subhanallah, tak terbendung air mata saya melihat video ini, lihatlah pasti anda juga merasa sama, apa yang saya rasa, jika anda rindukan Rasulullah SAW.”

Dan ketika netizen Tarmizimulia bertanya, “ni benar nyata, apa rekayasa orang saja,” Ukty Mutiara menjawab, “anda nilai sendiri adakah rekayasa. Semak videonya.”

Pada pautan video kedua di Youtube melibatkan penonton seluruh dunia dari pelbagai bangsa dan agama, ada netizen merendah-rendahkan rakaman video ini.

Terdapat netizen yang memberi komen, rakaman ini tidak benar dan ia hanya lakonan.

Oleh kerana tidak memahami bahasa Chechnya atau Rusia yang digunakan oleh sumber asal video ini, kita kurang memahami secara keseluruhan video yang melonjak ditonton pada Ogos dan September ini.

Kepastian dan kebenarannya masih dikesan.

Betapapun, terdapat hadis menjelaskan perihal melihat Rasulullah SAW dalam mimpi.

“Barangsiapa telah melihatku di dalam tidurnya (mimpi), maka dia sesungguhnya telah melihatku, kerana syaitan tidak (mampu) menyerupai rupaku” (maksud hadis riwayat Bukhari 1/52; dan Muslim 2266, 4/1775)

Sungguhpun begitu, bagi umat Islam khususnya perlu mendapat penjelasan lanjut daripada alim ulama berkaitan syarat mimpi yang benar berjumpa Nabi Muhammad SAW.

Dikhuatiri ada pihak yang cuba mendakwa sesuatu yang kita tidak mengalaminya, sama ada ia direka atau benar untuk kepentingan dirinya sendiri. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru