Thursday, December 8, 2022

TPM ketuai senarai penerima anugerah darjah kebesaran sambutan Hari Jadi TYT Sarawak ke-80

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai senarai penerima anugerah kebesaran sempena sambutan ulang tahun ke-80 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

Menurut senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak sebentar tadi, Ahmad Zahid akan menerima Darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang yang membawa gelaran Datuk Patinggi.

Isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Dato Jamilah Anu pula mengetuai penerimaan Darjah Datuk Amar Bintang Kenyalang, bersama-sama dengan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, dengan gelaran Datuk Amar.

Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom pula menerima pingat Panglima Negara Bintang Sarawak dengan gelaran Dato Sri.

Turut menerima pingat yang sama Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Pengerusi Eksekutif OBYU Holdings Sdn Bhd , Tan Sri Bustari Yusuf.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Nancy Shukri pula menjadi penerima tunggal pingat Panglima Gemilang Bintang Kenyalang yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, isteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang mengetuai senarai penerima pingat Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran Dato’.

Turut menerima pingat yang sama, Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Kennedy Jawan, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Opar Ranum Mina, Setiausaha Politik Robert Laing Anyie, Lim Kian Hock, Richard Wee Liang Huat dan Pastor Justin Wan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Sabariah Putit mengetuai senarai penerima Darjah Jasa Bakti Sarawak yang membawa kepada gelaran Datu dan Datin Paduka.

Dua penerima lain ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kemudahan Awam, Ubaidillah Abdul Latif dan Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Ganie Ugay. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru