Friday, August 19, 2022

Tok Nan arahkan karenah birokrasi dipermudah untuk jalankan perniagaan di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem semalam berkata, kerajaan negeri di bawah pentadbirannya akan berusaha mengurangkan kerenah birokrasi dan lebih mesra kepada komuniti perniagaan.

Ini bertujuan untuk menjadikan negeri itu sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi utama negara, seterusnya memacu negeri ini sebagai negeri maju berpendapatan tinggi pada tahun 2030.

“Untuk itu kita akan mempermudah segala urusan yang berkaitan dengan aktiviti perdagangan dan pelaburan, selain bersikap telus.

“Bagi membuktikan komitmen ini, kita akan pastikan isu-isu birokrasi yang dikaitkan dengan proses penubuhan perniagaan sebelum ini, termasuk membabitkan pengeluaran lesen perniagaan akan dipermudahkan,” katanya sewaktu melancarkan penubuhan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Protem SBF, Datuk Abang Abdul Karim Abang Openg.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, pendekatan tersebut sebenarnya memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan iklim perniagaan yang kondusif di negeri ini seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

“Oleh itu kita kini berpegang kepada konsep `kita mempermudah’…dengan tidak meletakkan terlalu banyak kekangan kepada usaha mewujudkan perniagaan, termasuk mengurangkan birokrasi semampu mungkin.

“Contoh dasar mesra perniagaan yang telah kita laksanakan termasuklah menambah tempoh pemilikan (tanah) dari 60 tahun kepada 99 tahun untuk memudahkan keadaan dan perniagaan dijalankan,” katanya.

Pada masa yang sama Adenan turut memberi jaminan bahawa masyarakat peniaga di negeri ini akan menerima sokongan kerajaan negeri dalam apa sahaja usaha untuk terus membangunkan ekonomi Sarawak.

Dalam majlis yang sama, Adenan menegaskan tindakannya mengadakan morotarium terhadap permit kerja kakitangan luar baharu Petronas baru-baru ini adalah manifestasinya terhadap kepincangan yang berlaku dalam industri minyak dan gas Sarawak.

“40 tahun mereka menjalankan perniagaan di negeri ini, kita hanya menjadi pemerhati. Sepatutnya mereka memberi peluang kepada anak jati Sarawak untuk menduduki jawatan penting dalam organisasi tersebut.

“Sebab itu saya mengarahkan morotarium tersebut. Mana mungkin tiada anak Sarawak yang layak menduduki jawatan tinggi organisasi itu,” jelasnya yang gembira, rundingan di antara kedua-dua belah pihak berjalan positif dan berjaya mencapai beberapa persefahaman.

Turut disentuh ialah industri nanas, dengan Adenan menggalakkan penglibatan pihak swasta untuk memajukan pertanian ini secara komersial, selain tanaman kelapa sawit. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru