Mari sertai seluruh dunia sejam ngaji al-Quran World#QuranHour esok, 9 Zulhijah

Unimas tuan rumah World #QuranHour untuk Borneo

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menjadi tuan rumah pertama bagi program #DuniaNgaji atau World#QuranHour di Borneo esok, Ahad, 11 September, di Pusat Islam Tun Abang Sallahuddin (PITAS).

Unimas dalam kenyataan media pada Jumaat menyatakan, World#QuranHour bakal menjadi salah satu lambang kesatuan umah seiring tarikh 9 Zulhijah yang merupakan perhimpunan terbesar umat Islam di Arafah.

25377cbf-e09b-4a8d-b62e-e28094a635daBermula 9 pagi Ahad ini seluruh dunia akan mengalunkan ayat suci al-Quran sebagai simbol penyatuan umah.

“Diharap perhimpunan ini menjadi wadah menyatukan umat Islam dengan menghayati serta melaksanakan tuntutan al-Quran,” menurut kenyataan itu.

World#QuranHour juga merupakan Kempen Kesatuan Umat Islam Sedunia bertujuan memupuk kesedaran memahami inti pati al-Quran dan menjadikannya rujukan kehidupan, dan sumber Transformasi Minda progresif, jiwa sihat dan akhlak terpuji.

“Ia majlis sejam yang dipenuhi interaksi dengan al-Quran berupa Ibrah atau tadabur yang menggalak umah memahami inti pati atau isi pengajaran ayat suci, dan aplikasinya dalam kesemua aspek kehidupan,” katanya.

Atur cara sejam setengah itu dipenuhi pelbagai bentuk aktiviti seperti, bacaan al-Quran daripada qari yang pernah mewakili Unimas dalam tilawah al-Quran peringkat Institusi Pengajian Tinggi, Qasidah yang dipersembahkan oleh pelajar Unimas.

Manakala, Tazkirah Ibrah Surah Yusuf daripada penceramah selebriti dan pakar motivasi terkenal disampaikan oleh Ustaz Solhi Sharif.

Orang ramai dijemput hadir ke Pusat Islam Tun Abang Salahuddin, Unimas bagi memeriahkan program tersebut.

Di Kuala Lumpur, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) yang juga penganjur, Marhaini Yusoff, berkata kepada Bernama bahawa fokus program #DuniaNgaji atau World#QuranHour adalah untuk melupakan sebarang perbezaan yang wujud sesama umat Islam.

Selain itu, ia membina iltizam melakukan kebaikan berlandaskan ajaran al-Quran.

Mengambil sempena hari Wukuf, penganjuran #DuniaNgaji mempunyai signifikan tersendiri.

Usaha berterusan memperkukuh umah dengan Al-Quran dimulakan oleh WUI sejak awal 2016 melalui kempen antaranya #KeluargaNgaji pada Januari dan Februari, #SekolahNgaji (Mac), #OrganisasiNgaji (April), #KomunitiNgaji (Mei), #MalaysiaNgaji (29 Jun lepas bersamaan 24 Ramadan) dan kemuncaknya #DuniaNgaji.

Program Sejam #DuniaNgaji mendapat kerjasama banyak negara termasuk negara minoriti umat Islam seperti Hong Kong, Korea dan Rusia.

India turut menyertainya dengan penglibatan lebih lapan juta umat Islam di tujuh lokasi terpilih, begitu juga dengan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Marhaini berkata, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menjadi rakan penganjuran bersama bertindak menghubungkannya dengan banyak negara luar yang melibatkan pelajar mereka.

Terdapat 117 negara yang pelajar mereka sedang dan telah menamatkan pengajian di UIAM dengan 31 Chapters Alumni UIA di luar negara yang dihubungkan untuk bersama-sama dalam program World #QuranHour.

Yayasan turut bekerjasama dengan Tahfiz Sulaimaniyah dari Turki yang mempunyai cawangan di 165 negara dengan 10,000 pusat pengajian selain turut bergabung dengan badan bukan kerajaan Muslim seluruh dunia.

Selain acara perdana di UIAM yang menjadi lokasi ‘hot spot’ untuk program sejam itu, 14 negeri seluruh Malaysia turut mengadakan acara yang sama membabitkan gabungan Rumah Ngaji di setiap negeri di bawah WUI, agensi kerajaan, majlis agama, syarikat korporat, masjid dan surau.

Program perdana di UIA bukan sekadar membaca al-Quran, sebaliknya dimulakan dengan alunan zikir diikuti tadabur bagi memahami al-Quran seterusnya diikuti alunan bacaan al-Quran oleh 604 orang setiap seorang membaca satu muka surat.

“Insya-Allah dalam masa lima minit akan selesai membaca satu juzuk al-Quran,” katanya menurut Bernama

#DuniaNgaji adalah kesinambungan daripada inisiatif yang dilakukan sejak 2013 dalam usaha menghidupkan al-Quran. – Sarawakvoice

735c7218-b1c7-49a7-b5c7-5464be4ebf50