Demi majukan Sarawak, Adenan terpaksa vokal dengan Kerajaan Pusat

0
4

KUCHING: Rasa kurang senang rakyat terhadap polisi tertentu Persekutuan yang menyebabkan negeri ini masih jauh terkebelakang berbanding negeri lain di Semenanjung sudah disuarakan kepada Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bagaimanapun meluahkan rasa gembira apabila pihak pengurusan Petronas bersikap terbuka menangani isu pekerja selepas berlaku rundingan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat.

Sebelum itu Adenan berkata, selama beroperasi lebih 40 tahun di negeri ini, sepatutnya Petronas tidak lagi memberi alasan tiada anak tempatan yang layak untuk dilantik ke jawatan penting syarikat terbabit.

Bercakap tentang isu pendidikan pula Adenan berkata, “Saya masih boleh bertolak-ansur jika Sarawak ketinggalan 10 atau 20 tahun, tetapi polisi pendidikan hari ini menyebabkan kita masih ketinggalan berbanding Semenanjung selepas separuh abad.”

Adenan menambah tidak mungkin beliau mampu bersabar apabila ada sekolah yang runtuh sehingga masuk sungai.

Begitu juga dengan sekolah yang tidak menikmati kemudahan elektrik dan air bersih.

Terdapat di kawasan tertentu, pelajar masih meredah jalan berlumpur untuk ke sekolah dan belajar dalam kelas yang serba kekurangan.

Adenan mahu melihat lebih banyak sekolah moden yang baharu dibina di negeri ini demi masa depan generasi akan datang.

Bercakap merasmikan Majlis Pelancaran Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) pada Jumaat, Adenan turut mengaku bahawa kerajaan memang bersikap properniagaan dan perlu membantu mempromosikan perniagaan agar peniaga dapat menjana kekayaan.

Menurutnya Kerajaan Negeri berusaha membantu masyarakat peniaga di Sarawak dengan mengurangkan kerenah birokrasi berhubung menubuhkan syarikat perniagaan, pengeluaran lesen dan sebagainya.

“Sebagai contoh, kita menjalankan dasar mesra perniagaan dengan menambah tempoh surat pemilikan tanah yang dibangunkan untuk perniagaan daripada 60 tahun kepada 99 tahun,” ujar Adenan.

Kerajaan turut menggalakkan sektor perniagaan dan swasta melabur dalam bidang berpotensi seperti kelapa sawit dan penanaman buah-buahan tempatan serta ternakan.

Selain itu, kerajaan turut membantu mempromosi sektor pelancongan  dan perkhidmatan lain di negeri ini. – Sarawakvoice