Friday, August 19, 2022

Cadangan Noh Omar bunuh ekonomi, bunuh rakyat, dakwa Rafizi

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Membenarkan pemaju besar menawarkan khidmat memberi pinjaman kepada pembeli samalah seperti memberikan lesen institusi kewangan kepada pemaju-pemaju besar ini. Kalau pada awalnya sebuah anak syarikat ditubuhkan hanya untuk memberikan pinjaman perumahan kepada pembeli rumah dari kumpulan pemaju itu, lama-kelamaan hartawan besar yang memiliki kumpulan pemaju ini boleh sahaja melobi supaya lesen mereka diperluaskan untuk berfungsi sebagai sebuah bank, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli.

Katanya, lesen membuka institusi kewangan atau bank di negara ini adalah cukup berharga kerana selepas krisis kewangan 1997/98, dasar penggabungan institusi kewangan menghadkan bank kepada beberapa kumpulan besar sahaja demi mengelakkan risiko bank kecil yang bermasalah mencetuskan wabak kewangan yang berjangkit.

Sejak proses penggabungan itu selesai lebih 15 tahun lalu, tidak ada satu kumpulan perbankan baru pun yang dibenarkan.

Rafizi  yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, tiga risiko terbesar yang akan membunuh rakyat dan membunuh ekonomi akan berlaku jika cadangan itu dilaksanakan.

“Risiko kewangan “sub-prime” – membenarkan pemaju untuk memberikan pinjaman perumahan kepada peminjam yang tidak layak (mengikut peraturan kredit Bank Negara Malaysia) kerana pendapatan mereka tidak padan dengan ansuran bulanan adalah satu tindakan membina portfolio peminjam tidak boleh bayar,” katanya.

“Apatah lagi kadar faedah yang dikenakan iaitu 12% hingga 18% adalah lebih tinggi dari kadar kad kredit dan menjadikan kebarangkalian peminjam tidak boleh membayar balik adalah terlalu tinggi. Fenomena membenarkan peminjam yang tidak layak mendapat pembiayaan perumahan pada kadar faedah yang tinggi inilah yang dirujuk sebagai “sub-prime” yang pernah berlaku di Amerika Syarikat hinggalah skim itu runtuh dalam tahun 2008,” tambahnya.

Akibat krisis “sub-prime” di Amerika Syarikat, seluruh ekonomi dunia merudum dan kesannya belum dipulihkan sepenuhnya di beberapa negeri atau bandar di Amerika Syarikat terutamanya di Detroit.

Melesenkan “Along” dan meluaskan riba’ – kadar 12 peratus hingga 18 peratus yang diumumkan oleh Noh  menurut Rafizi ialah kadar pinjaman yang ditawarkan oleh Along.

“Kadar itu juga adalah satu bentuk penghambaan kewangan kerana keuntungan yang diambil oleh pemberi pinjaman adalah berlipat kali ganda hingga membunuh kelangsungan ekonomi peminjam,” jelasnya.

Katanya, mana-mana peminjam yang mengambil pembiayaan rumah pada kadar ini samalah seperti menjadi hamba kepada pemberi pinjaman sehingga ke akhir hayat kerana jumlah bayar balik adalah di antara empat hingga enam  kali ganda daripada jumlah yang dipinjam.

Bagi beliau, memberi lesen kepada pemaju memberi pembiayaan pada kadar along bermakna  tidak mengambil hirau bahawa harga rumah yang dipacu oleh pemaju terbesar ini adalah di luar kemampuan rakyat terutamanya di bandar-bandar besar yang dimonopoli mereka.

“Dengan lesen memberi pinjaman ini, lebih banyak projek perumahan di luar kemampuan rakyat yang akan dibangunkan dan pilihan rumah mampu milik semakin berkurangan dengan alasan pembeli kini boleh meminjam 100%. Akibatnya pemaju kecil akan gulung tikar kerana hanya pemaju besar yang ada lesen yang mampu bersaing dan pada masa yang sama harga rumah akan terus naik mencanak,” ujarnya.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru