Terbaik DBKU, sila kuat kuasa larangan merokok, hisap vape

0
6

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melalui Datuk Bandar Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai menyatakan pendirian menguat kuasa larangan merokok dan menghisap vape di semua premis makanan berlesen dengannya mulai 1 Januari tahun depan.

Undang-undang berkaitan perkara tersebut termaktub di bawah Akta Makanan 1983 (Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2011).

Di bawah akta tersebut Kementerian Kesihatan mengenal pasti 21 kawasan yang diharamkan merokok dan menghisap vape.

Bagaimanapun, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil pendekatan tidak menguat kuasa undang-undang terbabit sebagaimana tindakan DBKU di premis bawah kuasa mereka.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata MPP tidak memerlukan pelaksanaan undang-undang, sebaliknya perlu ada sikap timbang rasa golongan perokok itu sendiri memikirkannya.

Sementara, Datuk Bandaraya Kuching Selatan Datuk James Chan berkata perokok hendaklah sensitif kepada golongan bukan perokok apabila mereka berada di premis makanan terbuka.

Nampaknya, apa pun yang ditegaskan oleh  pihak DBKU atau pihak MPP serta MBKS, kesimpulan akhirnya ialah merokok dan menghisap vape di tempat awam memang jelas suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan.

Tinggal lagi, bagaimana tindakan tersebut bakal diambil?

Amat jelas bahawa, sekiranya kesalahan merokok dan menghisap vape di tempat awam dilakukan, sekiranya ditangkap ia tetap merupakan satu pelanggaran mengikut undang-undang.

Bagi yang mahu merokok di premis MBKS mahupun MPP sila berfikir panjang.

Ini kerana difahamkan bagi pihak MPP, undang-undang sedia ada memang sudah dikuat kuasa yakni tidak dibenar merokok di premis berhawa dingin atau tertutup.

Begitu juga dengan peraturan DBKU, meskipun DBKU akan mengambil berat undang-undang melarang merokok dan menghisap vape di premis terbuka, tempat orang ramai menikmati juadah masing-masing, namun tetap tersedia kawasan dibenarkan merokok.

Sebenarnya, isu menguat kuasa atau tidak menguat kuasa peraturan bukanlah isu yang saling bertindih.

Bezanya DBKU mungkin menguat kuasa peraturan secara agresif dengan mengambil tindakan segera seperti menasihati atau mendenda pesalah.

Manakala, MBKS dan MPP lebih menyerahkan kepada perokok untuk memikirkan kepentingan awam melibatkan kanak-kanak, wanita atau pun golongan tua.

Seperti dikatakan tadi, walaupun belum ada tindakan sekiranya merokok di tempat awam tetapi peruntukan kuat kuasa tersebut tetap ada dalam peraturan dna tindakan masih boleh diambil.

Malah, hampir semua Pihak Berkuasa Tempatan meletakkan papan notis tidak dibenar merokok di kawasan terbuka tempat orang ramai berkumpul.

Setakat ini, banyak tempat menyediakan zon khas untuk merokok agar tidak mengganggu keselesaan orang banyak.

Perokok secara rasionalnya tahu bahawa merokok di tempat awam merupakan satu kesalahan.

Perokok juga kebanyakannya tahu bahawa merokok membahayakan kesihatan dan mengundang pelbagai jenis penyakit kronik.

Justeru, apa baiknya memaksa orang lain berkongsi “asap berbahaya” dengan kita dan orang itu mungkin ayah, ibu atau isteri dan anak-anak kita?

Biarlah orang lain bebas menyedut udara bersih dengan selesa dan nyaman.

Sesiapa mahu merokok silakan berada dalam zon merokok yang disediakan! Perokok ada hak dan hak mereka ialah merokok dalam zon yang dibenarkan.

Bukan perokok juga ada hak iaitu berhak menyedut udara yang bersih dan sihat. – Sarawakvoice