Pelancong China suka hutan, haiwan liar Sarawak

0
4

KUCHING: Sarawak merupakan destinasi pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri tersenarai dalam promosi syarikat pelancongan China.

Pada Khamis, Ankeyunda Air Travel Services antara pengendali pelancongan China mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Muda Pelancongan, Datuk Lee Kim Shin bagi membincangkan potensi pelancongan di Sarawak.

Ankeyunda Air Travel Services kini mempromosi pelancongan Sarawak kepada pelancong China dan berminat membawa penerbangan terus ke Kuching dari China.

Ankeyunda Air Travel Services sedia menawarkan penerbangan sewa khas ke beberapa bandar di China ke Kuching.

“Kita kini mengusahkan memorandum persefahaman dengan beberapa pengendali pelancong dan penerbangan dari China,” kata Lee sambil menambah Kerajaan Negeri juga kini memberi fokus kepada pelancong dari China.

Jumlah pelancong China ke negara ini meningkat dalam tempoh tiga bulan, dari Disember 2015 hingga Februari 2016 ketika cuaca sejuk melanda negara Tembok Besar itu.

Pelancong China selesa berada di Malaysia kerana rakyat negara ini bertutur pelbagai dialek termasuk Mandarin sehingga memudahkan mereka berkomunikasi.

Mereka juga menyukai landskap hutan dan hidupan liar, serta kawasan pantai.

Bagi memudahkan pelancong luar, terutama dari Jepun, Korea, China, dan Eropah mengunjungi Sarawak, satu daripada strategi adalah dengan mengadakan penerbangan terus ke negeri ini.

Malaysia dijangka menerima 30.5 juta pelancong luar 2016 berbanding 27.4 juta pada 2014 dengan meraih pendapatan RM72 bilion.

Dalam usaha menarik pelancong ke negara ini, syarikat penerbangan AirAsia mengadakan penerbangan terus ke pelbagai bandar raya di China dari KLIA2. – Sarawakvoice