Kita akan menyambut Hari Malaysia pada dalam beberapa hari lagi. Jumaat depan, kita akan bercuti. Cuti umum sempena pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Hakikatnya, dalam usaha kita  meraikan ulang tahun ke-53 pembentukan Malaysia dan melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa, segala tembok psikologi dan jurang pemisah perlu diruntuhkan dan ditimbus.

Ini termasuk dari segi hubungan etnik dan negeri serta wilayah. Tonggak kesepaduan sosial dan integrasi perlu terus diperkukuh. Jika tidak, rakyat akan terus berada di atas landasan etnik dan negeri. Sikap etnosentrisme dan kenegerian yang melampau akan mendatangkan kesan buruk kepada kita ketika kita sepatutnya memperkukuh kesepaduan sosial dan integrasi nasional.

Apakah cabaran utama pengintegrasian nasional ketika kita melangkah ke hadapan? Cabaran utama adalah bagaimana mengikiskan  sentimen dan nilai-nilai negatif seperti segregasi, diskriminasi, prejudis, steretotaip, sikap kenegerian dan etnosentrisme terlebih dahulu. Semangat kenegerian dan kewilayahan yang melampau perlu dikikiskan.

Hanya sesudah kita dapat mengikiskan elemen-elemen berkenaan, barulah kita secara perlahan-lahan dapat merealisasikan akomodasi, akulturasi, asimilasi dan amalgamasi dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dan negeri di negara ini.

Bagi menjamin keharmonian hubungan etnik dan memantapkan kesepaduan sosial dan integrasi nasional di negara ini, satu daripada cabaran yang kita hadapi adalah menyemai nilai dan sikap akomodasi terhadap pelbagai aspek dan amalan kehidupan dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dari pelbagai negeri.

Akomodasi merupakan proses yang memungkinkan setiap kumpulan etnik menyedari dan menghormati nilai dan norma kumpulan etnik dan negeri lain, tetapi mereka tetap mempertahankan dan mengamalkan nilai etnik, budaya dan negeri masing-masing. Sikap saling bertolak ansur dan memahami amat penting.

Cabaran lain adalah sejauh manakah  kita mengamalkan konsep akulturasi?  Adakah pelbagai etnik di negara kita dapat menerima unsur kebudayaan etnik dan negeri lain yang berbeza daripada kebudayaan etnik dan negeri mereka?

Bagaimanakah unsur-unsur budaya berlainan itu digarap dalam karya seni  seperti filem, drama dan lukisan? Siapakah yang berlakon dalam filem dan drama kita?  Adakah sekadar orang Melayu?

Akulturasi dapat membantu memantapkan kesepaduan etnik dan integrasi nasional dalam usaha untuk membina sebuah negara yang memiliki jati diri.

Akulturasi berlaku apabila satu kelompok etnik atau manusuia dengan suatu kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur daripada budaya asing yang berbeza sehingga unsur budaya itu akhirnya diterima, diolah dan diamalkan.

Proses ini yang memungkinkan pinjam-meminjam berlaku tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima.

Di negara ini kita dapat menyaksikan berlakunya proses peminjaman dari segi pakaian, makanan dan amalan lain.

Cabaran seterusnya adalah bagaimana kita dapat mengasimilasikan menyatuan kumpulan etnik yang mempunyai budaya dan agama yang berbeza sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama.

Konsep asimilasi ini membabitkan penyerapan sehala individu, etnik atau kelompok ke dalam individu, etnik atau kelompok yang lain.

Menurut pakar sosiologi, Vander Zanden asimilasi ialah proses apabila kelompok berkenaan berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama.

Perpaduan dan integrasi etnik, negeri dan wilayah akan membawa negara ke arah kemajuan, pembangunan dan kemakmuran. Kita perlu terus bersatu hati membawa Malaysia ke hadapan. – Sarawakvoice