Monday, January 24, 2022

Husam Musa jangan tipu diri sendiri, kata anak Nik Aziz

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda Pas  mengingatkan Datuk Husam Musa  supaya tidak menipu diri sendiri dengan mengatakan bahawa hari-hari akhir  Datuk Nik Aziz Nik Mat adalah hari-hari akhir yang tidak indah buat hubungan dirinya dengan  pemimpin Pas itu.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata Husham tidak seharusnya mengaitkan dengan alasan sekatan-sekatan oleh keluarga atau sesiapa.

“Lebih setahun ayahanda berehat dari kerusi Menteri Besar sebelum perginya adalah masa yang mencukupi untuk dia memerhatikan seluruh tindak-tanduk anak-anak buahnya yang kini bekerja bersama Menteri Besar baharu yang menjadi pilihannya,” kata anak bekas Menteri besar Kelantan itu.

Menurut beliau, disebabkan  tindak-tanduk sesetengah pimpinan termasuk Husam yang bersifat ‘memberontak’ itulah yang mendorong ayahanda secara berterus terang menuntut ahli PAS memberi wala’ dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Nik Mohamad Abduh berkata, seorang bekas pemimpin PAS yang dipecat telah mendakwa bahawa jika almarhum Nik Abdul Aziz masih ada, maka dia akan memilih untuk masuk Parti Amanah Negara (PAN), parti baharu serpihan PAS.

Hal ini demikian, kerana menurut individu berkenaan berkata, PAS sudah keluar dari landasan asal perjuangan dan Kelantan kini tidak lagi Kelantan yang dulu.

“Setiap fitnah walaupun terlalu teruk untuk dipercayai, akan tetap ada telinga yang sedia menadah dengar sebagai terapi bagi jiwa yang sudah lama sakit dan tidak sedia diubati lagi. Ia akhirnya hanya boleh hidup melalui ubat pelalian dengan dos yang tinggi. Fitnah dosnya memang tinggi,” jelasnya.

Menurut anak Nik Aziz itu, demi menjaga kekuatan dirinya dalam perjalanan, ayahnya telah memilih sedari mudanya untuk mengenderai parti PAS sehinggalah akhir hayatnya.

“Berapa kali PAS berkrisis dan berpolemik. Terserpih dan pecah. Tewas dan jatuh. Ditertawa dan diperlekeh. Tenggelam dan hilang. Akhirnya saat PAS bangkit, ayahandalah yang di depan menangkis dan menjulang,” ujarnya.

Mengenai sama ada , benar Kelantan hari ini sudah tidak lagi seperti dulu, beliau berkata, Kelantan dulu ada aura Nik Aziz.

“Kelantan dulu ada style dan cara Tuan Guru. Kelantan dulu ada sentuhan Tuan Guru. Ya, itulah bezanya,” katanya menggunakan gelaran orang ramai untuk merujuk Nik Aziz.

“Jadi, adakah itu ukurannya perjuangan PAS di Kelantan berubah? Jika anda berkata ya, saya berkata, padanlah anda masuk PAN pun,” katanya lagi.

“Anda sering menggambarkan yang manis-manis dari zaman Tuan Guru untuk anda bandingkan dengan yang pahit-pahit dari zaman YAB Datuk Ahmad Yakob.

Mengapa kejayaan-kejayaan oleh Datuk Ahmad Yakob yang tak berlaku di zaman Tuan Guru tidak diangkat dan dipuji?,” katanya membidas pemimpin berkenaan yang telah menyertai PAN. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru