Saturday, December 3, 2022

Bertikam lidah kerana Hari Kebangsaan

Secara Rawak

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Sambutan ‘Hari Kebangsaan’ telah menjadi topik hangat baru-baru ini.

Tiada juga perayaan gilang-gemilang yang diadakan pada 31 Ogos tersebut, tiada juga bunga api dimainkan, tetapi cukup mengundang 1001 pertikaian dalam media sosial.

Kemungkinan pembaca pun salah seorang yang kena photobombed dengan pelbagai poster di samping pelbagai teks menerusi telefon pintar.

Bukan sesuatu yang luar biasa melihat yang kurang bersetuju ini menuduh pihak-pihak yang merai ‘Hari Kebangsaan’ merupakan ‘produk indoktrinasi ketuanan Melayu Malaya.’

Tidak kurang juga komen yang berunsur rasis atau perkauman.

Pihak yang cuba memberikan penjelasan untuk meredakan keadaan baik guna contoh negara Amerika Syarikat mahupun Jerman dikutuk cuba menegakkan benang yang basah.

Apa polemik di sebalik sambutan 31 Ogos tersebut sebenarnya?

Pertama, kita boleh menafikan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan memutar-belitkan cerita untuk meraih sokongan terutamanya yang memainkan perasaan rakyat dengan menghina kebijaksaan rakyat dalam pengiraan matematik mudah untuk dapatkan jawapan 53 ataupun 59.

Begitu banyak poster tersebar menerusi media sosial – berapa ramai yang pernah cuba menyelidiki daripada siapa poster-poster tersebut sebelum meradang secara emosional?

Ini terutamanya bila melihat poster dengan kapsyen ‘Sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-59’, mahupun ‘Kemerdekaan Malaysia ke-53’, serta penggunaan istilah ‘Hari Kebangsaan’.

Hakikatnya, Malaysia tidak pernah merdeka dan Sabah Sarawak bukan menyertai Malaysia tetapi bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu serta Singapura membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Timbul juga kemusykilan di sini apakah salah kita meraikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos? Begitu juga tarikh 31 Ogos untuk Sabah dan 22 Julai bagi Sarawak?

Keduanya, yang dilihat menjadi pertikaian ialah penggunaan istilah ‘Hari Kebangsaan’ di mana mereka mempersoalkan kesesuaian istilah tersebut untuk 31 Ogos. Hujah mereka hari kebangsaan hanya sesuai untuk 16 September.

Isitlah yang lebih sinonim kedengaran sebelum ini sebenarnya adalah ‘Bulan Kebangsaan’ tetapi setelah suatu siri pertikaian disebabkan ketidakpuasan hati terhadap istilah ‘Sambutan Hari Kemerdekaan’, akhirnya timbullah cadangan menggunakan istilah ‘kebangsaan’ tersebut.

Sama ada disebut sebagai Sambutan Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan, hakikatnya tiada salahnya kita meraikan 31 Ogos.

Pertikaian pada ketika itu juga mendorong pihak penganjur untuk tidak menyebut berdasarkan ulang tahun sebaliknya mengikut tahun.

Suatu langkah yang dilihat lagi merumitkan keadaan apabila lebih mudah diputar-belitkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Semua usaha ini sebenarnya juga boleh dilihat sebagai tempoh peralihan untuk cuba mengangkat Hari Malaysia pada 16 September.

Ketiganya, tidak dinafikan terdapat kekeliruan pada masa lalu dalam subjek Sejarah Malaysia sama ada secara sengaja atau tidak disengaja.

Apa yang mustahak adalah ada kesedaran untuk memperbetulkannya dan sedang dilaksanakan juga. Malahan ada pihak yang sudah berusaha mendesak agar diberikan ruang yang lebih luas untuk sejarah Sabah Sarawak dalam buku teks sekolah.

Begitu pun nampaknya bukan mudah untuk membawa suatu anjakan paradigma terutamanya dalam konteks demokrasi yang semua individu dijamin hak untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

Yang menjadi polemik ialah campur aduk maklumat yang benar dengan yang palsu ataupun interpretasi yang telah mengherotkan makna sebenar yang begitu banyak beredar dalam media sosial.

Siapa-siapa yang tidak disenangi juga bila-bila masa boleh menjadi mangsa apabila gambarnya diambil dan diletakkan kapsyen gambar yang boleh menimbulkan kebencian terhadap dirinya.

Sebab itu juga penggunan media sosial dinasihatkan berhati-hati dengan apa yang mereka kongsi dalam media sosial mereka.

Orang ramai pula dinasihatkan jangan percaya secara melulu apa yang diperoleh; sebaliknya mengambil langkah untuk mengesahkan kesahihannya sebelum mempercayai atau menghantarnya kepada kawan-kawan.

Ini terutamanya bahan-bahan sensasi yang sebenarnya berbaur fitnah dan hasutan.

Apa yang penting sebenarnya adalah semua pihak yang perihatin sedia untuk bertoleransi dan kerjasama mencari penyelesaiannya.

Memandangkan di dalam Persekutuan Malaysia ada istilah ‘Hari Merdeka’ dan ‘Hari Malaysia’, mungkin boleh dipertimbangkan secara serius untuk kekal menggunakan kedua-dua istilah tersebut sahaja pada masa akan datang untuk mengelakkan pertikaian yang sama timbul balik pada masa depan.

Apa-apa pun, mari kita lihat ke hadapan untuk meraikan Hari Malaysia pada Jumaat depan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru