Monday, June 27, 2022

Adenan: Sekolah S’wak mundur 10 tahun saya boleh faham, tapi mundur setengah abad, saya tak boleh tolak ansur

Secara Rawak

KUCHING: Selain polisi pendidikan negara melibatkan Sarawak dirombak, pembinaan sekolah dan prasarana sekolah di negeri ini juga perlu dibina seragam sebagaimana di Semenanjung.

Bercakap melancarkan kamus bahasa Iban-Inggeris berjudul “A Comprehensive Iban-English Dictionary” pada Rabu, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata beliau sudah meminta agar polisi pendidikan negara ini diubah.

14242224_1189857301087837_3630984959487199754_o

 

Hal ini bertujuan agar Sarawak tidak berterusan merayu kepada Kerajaan Pusat bagi memberikan lebih banyak perhatian untuk menambah baik keadaan sekolah di negeri ini.

Adenan berkata, “mereka bertanya, apa perlu dilakukan terhadap polisi pendidikan kita, saya memberikan jawapan mudah iaitu bina sekolah seragam.”

Adenan berkata beliau juga sudah letih merayu Kerajaan Pusat agar membina sekolah yang lebih baik keadaannya dan menangani masalah sekolah di negeri ini yang keadaannya ketinggalan.

Masih terdapat sekolah yang tiada bekalan elektrik dan air bersih.

Malah, terdapat sekolah yang berisiko jatuh ke sungai atau musnah akibat bencana seperti kebakaran.

“Sekiranya (sekolah) kita ketinggalan 10 hingga 20 tahun, itu saya boleh faham, tetapi kalau kita masih ketinggalan sehingga setengah abad, itu saya tak boleh lagi bertolak ansur,” tegasnya.

Beliau mengakui ketika ini pihaknya sudah mula mengubah aspek lain polisi persekolahan.

Antara pembaikan ialah membabitkan usaha menambah lebih ramai anak Sarawak menjadi guru mengajar di sekolah di negeri ini.

“Kita tidak boleh terus hanya mengikut apa sahaja yang ditetapkan di Kuala Lumpur, kata Adenan.

Komposisi penduduk di Semenanjung tidak sama dengan komposisi penduduk di Sarawak, justeru keseragaman polisi perlu disesuaikan dengan keadaan di negeri ini. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru