Pengguna media sosial jangan ikut emosi

Media sosial sudah menjadi senjata ampuh rakyat dan pembangkang untuk menyerang pemimpin dan parti Barisan Nasional. Satu daripada punca kekalahan BN dalam pilihan raya umum 2008, ialah kegagalannya memanfatkan internet, berbanding pembangkang.

Kini, media sosial yang punya banyak kelebihan dieksploitasikan potensinya sebagai saluran mendedahkan kelemahan kerajaan, serta meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan. Mereka menggunakan media ini untuk mengutuk, mengherdik, menempelak dan memperli pemimpin.  

Ruang siber menjadi ruang pertembungan idea antara wacana dengan wacana tandingan. Media sosial memberi kebebasan hampir tanpa sempadan kepada pengguna, terutama pengguna yang punya agenda dan motif tertentu.

Dari satu segi, kewujudan media sosial menyebabkan pemimpin politik perlu lebih berhati-hati dalam tindak-tanduk dan kenyataan mereka. Jika tersilap kata dan tindakan, mereka boleh menjadi mangsa kritikan, kutukan dan kejian.

Namun, kita tidak boleh membiarkan mereka ini menggunakan media sosial sewenang-wenangnya. Mereka perlu dididik bukan sahaja untuk menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan beretika, tetapi sedar akan risiko yang bakal ditanggung oleh diri, keluarga, masyarakat, dan negara.

Pengguna media sosial yang pintar perlu sensitif dan sedar bahawa kata-kata dan kenyataan yang diungkapkan meninggalkan kesan terhadap khalayak. Pengguna perlu sedar, terlanjur perahu dapat diundur, terlanjur kata buruk padahnya.

Maka, berhati-hatilah mengeluarkan pandangan dan kata-kata melalui media sosial. Media sosial merupakan ruang yang boleh menjerumuskan penggunanya ke dalam kancah masalah meskipun tidak dinafikan, ia punya banyak lelebihan. Sesungguhnya, inilah media yang paling menggoda di planet ini. Pengguna boleh leka dan alpa.

Sesetengah pengguna media sosial menggunakan kebebasan semaksimum mungkin seolah-olah kebebasan itu tanpa sempadan.

Mereka bukan sahaja menyebarkan berita palsu tentang pelbagai perkara, tetapi memfitnah pelbagai pihak.  Mereka menggunakan kata-kata kesat, memberi komen dan ulasan yang keterlaluan, tanpa memikirkan kesannya kepada pihak yang menjadi sasaran.

Mereka bagai hilang pertimbangan dan kewarasan. Tidak salah dikatakan, sebahagian komen dan pandangan adalah tidak masuk akal dan bersifat emosional. Mereka bukannya tidak berakal, tetapi berakal pendek. Langsung tidak terdapat rasa bersalah di hati mereka dalam menyebarkan fitnah, kebencian, hasutan, dan sebagainya.

Ke mana perginya nilai-nilai murni yang diajar di sekolah? Adakah mereka lupa kepada agama yang sepatutnya menjadi pegangan mereka?

Kita tidak boleh biarkan fenomena ini berlaku berleluasa dan berterusan. Masyarakat dan negara boleh jadi porak-peranda jika kegiatan itu tidak terkawal. Kebebasan melalui media sosial tidak harus disalahgunakan, kerana implikasi dan kesannya terhadap kestabilan sosiopolitik dan keharmonian hubungan etnik amat mendalam. Serangan terhadap budaya, agama, dan etnik lain tanpa memikirkan kesan buruk hanya mengundang bencana.

Justeru, sudah sampailah ketikanya pengguna media sosial dididik tentang pelbagai macam akta yang boleh membelit mereka jika mereka memfitnah, menghasut, menyebarkan kebencian dan sebagainya. Kejahilan mereka tentang kandungan dan hukuman di bawah akta itu menyebabkan mereka berani mengeluarkan kenyataan dan komen sesuka hati.

Apakah yang menyebabkan mereka menjadi begitu berani? Adakah semua itu berlaku disebabkan suasana tekanan politik yang begitu tinggi di alam nyata?

Justeru, ruang siber dan media sosial dijadikan tempat untuk melepaskan kekecewaan dan sebagainya. Yang tidak mungkin dapat dilakukan di dunia sebenar, dapat dilakukan di alam siber melalui media sosial.

Kekurangan ruang politik menjadi mangkin yang menyuburkan wacana di alam maya. Melalui media sosial mereka bertindak tanpa berfikir panjang. Mereka hanya ingin menjadi juara dan orang pertama menyebarkan berita walaupun berita  itu belum disahkan, dan peristiwa itu tidak semestinya benar. Masalahnya, ada yang lemparkan batu, sembunyi tangan.

Kita sering menerima kenyataan, maklumat, gambar dan berita sensasi yang cepat pula menjadi viral. Tanpa berfikir sesaat pun, pengguna media sosial mengongsikan maklumat terbabit sesama rakan dan ahli keluarga dengan pantas.

Maklumat yang tidak betul lebih-lebih lagi berkaitan keselamatan, ekonomi hubungan etnik, politik dan sebagainya boleh mendatangkan kemudaratan. Rakyat menjadi panik, risau dan cemas.

Dalam keadaan sedemikian, pebagai perkara tidak diingini boleh berlaku. Malah, ia boleh mencetuskan pergaduhan, keresahan, ketegangan, dan hilang keyakinan terhadap ekonomi, pihak keselamatan,  dan kepemimpinan negara.

Pengguna media sosial yang bijaksana tidak harus dikuasai emosi, sebaliknya perlu menggunakan kepintaran dan kebijaksanaan.

Langkah yang diambil kerajaan untuk menyekat wacana dan kenyataan berunsur kebencian, fitnah dan hasutan tidak harus disalah tafsir pengguna media sosial sebagai mengekang kebebasan bersuara.

Kita tidak boleh menjadikan media sosial untuk menyemai bibit-bibit kebencian dalam kalangan rakyat kita. Ia boleh menjadi api marak yang membakar kita semua. – Sarawakvoice