Pelajar Malaysia di dua universiti disaran pindah ke tujuh universiti lain di Mesir

0
7

KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK)  mengesyorkan agar mahasiswa warganegara Malaysia yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Assiut dan Universiti Fayoum, Mesir  agar memindahkan pengajian mereka ke mana-mana tujuh  universiti lain di negara itu.

Universiti berkenaan ialah ‎Universiti Kaherah, Universiti Al-Azhar, Universiti Ain Shams, Universiti Iskandariah, Universiti Mansoura, Universiti Tanta dan Universiti Zagazig.

‎KBMK dalam satu kenyataan menjelaskan  tentang isu kursus pengajian Sains Kesihatan di Universiti Assiut dan Pengajian Islam di Universiti Fayoum tidak diiktiraf oleh pihak berwajib di negara ini untuk tujuan pelantikan ke perkhidmatan awam.

Pada ketika ini, terdapat beberapa pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian tinggi mereka di Universiti Assiut dalam bidang perubatan dan pergigian, dan di Universiti Fayoum dalam bidang pengajian Islam.

Penerimaan ke tujuh universiti terbabit adalah berdasarkan dasar semasa kelayakan pengajian sains kesihatan, iaitu tiada subjek C dalam keputusan SPM).

“Ini termasuk kursus pergigian di Universiti Assiut di mana Majlis Pergigian Malaysia (MPM) semasa mesyuarat ke-114 mereka pada 1 Jun 2016 telah mengesahkan bahawa program pergigian di Universiti Assiut tidak sama dengan kelulusan yang tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Pergigian 1971. Justeru, kelulusan yang akan dianugerahkan adalah tidak diiktiraf oleh MPM,” katanya lagi.

Kenyataan itu menambah, sekiranya mahasiswa kursus pergigian masih kekal di Universiti Assiut, mereka perlu melalui proses penilaian di bawah Jawatankuasa Penilaian bagi kelulusan yang tidak diiktiraf (termasuk tambahan dua tahun pengajian di Malaysia), sebelum layak dipertimbangkan untuk pendaftaran dengan MPM.

Bagi proses perpindahan tersebut, pegawai yang boleh dihubungi untuk tujuan penyelarasan ‎ialah En. Ahmad Buhairi bin Nawawi, Setiausaha Kedua (Pendidikan) di emel mrbuhairi@gmail.com.

KBMK dalam kenyataan itu mengingatkan ibu bapa dan mahasiswa yang ingin melanjutkan pengajian tinggi ke Republik Arab Mesir untuk mendapatkan maklumat pengiktirafan pengajian dan universiti di Mesir daripada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terlebih dahulu.

“Malangnya masih terdapat penghantaran pelajar-pelajar oleh agen-agen yang tidak bertanggungjawab seperti ke Universiti‎ Assiut dan Universiti Fayoum,” katanya. – Sarawakvoice