Saturday, June 25, 2022

Amanah hilang arah, terancam

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Pas Negeri Kedah menyifatkan sikap skeptikal yang ditunjukkan oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusuf terhadap seruan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri seolah-olah membayangkan Amanah berada dalam keadaan terancam, membentak dan hilang arah.


Malah, menurut  Mohd Azam Abd Samat,  sikap yang ditunjukkan Mujahid itu juga angkuh, tidak menghormati autoriti, jumud, bahkan tidak menghayati makna “Rahmatan lil ‘alamin” yang kononnya menjadi konsep pembawaan parti itu. Sebaliknya, membuka semakin banyak tembelang hipokrit PAN dari hakikat digembar-gemburkan.

“Apakah Dr Mujahid melihat Mufti Wilayah sebagai seorang yang naif dan tidak memahami isu?… Sewajarnya, Dr Mujahid sebagai Ahli Parlimen yang antara tugas utama adalah menggubal atau meminda rang undang-undang merasa bersyukur kerana ada pihak lain yang turut berperanan dalam melakukan tanwir terhadap perkara ini. Apatah lagi seorang yang sangat berautoriti dan diiktiraf keilmuannya,” ujarnya lagi.

Kata beliau: “Dr Mujahid sendiri seharusnya memahami, tujuan perundangan bukan semata-mata mencegah, menghukum dan memulihkan, tetapi juga ta’dib di mana Mufti Wilayah telah menyumbang usaha berkualiti ke arah itu.”

Bagi Ketua Pemuda Pas itu, konteks disentuh Dr Zulkifli juga adalah RUU telah sedia ada yang hanya akan melalui proses pindaan.

“Ia bukan rahsia atau sesuatu yang baharu, tetapi telah menjadi pengetahuan umum dan melalui banyak perbincangan pelbagai pihak,” ujarnya.

“Dengan mempunyai kedudukan pada kursi masing-masing dan pendidikan tertinggi, serancaknya wacana ilmiah dan terarah dapat diadakan dalam suasana mahabah serta beradab. Bukan melakukan tajrih yang menzahirkan dangkal, bebal dan kurang ajar,” tambahnya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah beranggapan  Amanah bagai dibayangi kebimbangan terhadap setiap usaha yang berkait dengan memartabatkan syariah. Maka, siapa sahaja yang dilihat bersama dalam perkara itu ‘diperangi’ semberono.

“Kami menyeru agar inklusivisme yang sering diuar-uarkan dapat dipraktikkan. Juga perbincangan ilmiah dalam kondusif berakhlak dibudayakan. Kefahaman dan kesediaan patuh warga negara untuk menerap setiap perundangan adalah antara lambang martabat dan ketamadunan. Itulah kematangan yang sepatutnya diagendakan sebuah parti politik,” jelasnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru