Friday, August 19, 2022

3,000 penumpang dari Singapura disaring di Lapangan Terbang Kuching dan Miri, bebas Zika – Dr Jamilah

Secara Rawak

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menyaring sekurang-kurangnya 3,000 penumpang dan anak kapal dari Singapura yang tiba ke negeri ini melalui lapangan-lapangan terbang di Kuching dan Miri.

Pengarahnya, Dr Jamilah Hashim berkata, hasil pemeriksaan itu bagaimanapun tidak menemukan sebarang mereka yang disyaki sebagai pembawa wabak Zika.

zkss

“Sehingga kini kami sedang memberikan tumpuan kepada penerbangan dari Singapura.

“Kita mempunyai 23 penerbangan dari Singapura, 19 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan 4 ke Lapangan Terbang Miri.

“Sehingga kini kita telah mengimbas sekitar 3000 penumpang dan anak kapal dan tidak ada daripada mereka yang disyaki membawa Zika,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kejururawatan Bersama Malaysia Singapura ke-21 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pagi tadi.

Menurutnya, di Lapangan Tebang Antarabangsa Kuching, para penumpang diimbas menggunakan pengimbas thermal manakala di Lapangan Terbang Miri, mereka diperiksa menggunakan kaedah manual iaitu thermometer.

Pada masa yang sama , semua penumpang turut dinasihatkan agar berkunjung ke klinik berdekatan jika mengalami simptom-simptom wabak tersebut.

Kata Dr Jamilah lagi, pemeriksaan tersebut bagaimanapun belum melibatkan pintu-pintu masuk lain seperti pelabuhan.

Wabak Zika di negara ini kini melibatkan tiga kes, dengan satu kes di Selangor, satu kes di Sabah dan kes yang terkini dikesan di Johor.

Kementerian Kesihatan kini dalam proses mengekang kemasukan wabak tersebut, namun ia adalah sesuatu yang mustahil kerana ia disebarkan melalui beberapa agen, termasuk pemindahan darah, hubungan seks dan jangkitan melalui vektor iaitu nyamuk Aedes. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru