Friday, August 19, 2022

RUU 355: Pas sifatkan kenyataan Mujahid dangkal

Secara Rawak

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Parit Buntar (Amanah) Dr Mujahid Yusof yang menempelak pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengenai RUU 355 sangat dangkal.

Beliau  menyarankan agar Dr Mujahid meneliti semula pandangan Dr Zulkifli dan tidak gopoh dalam membuat kenyataan berbaur paranoid. Sedangkan, katanya,  orang awam pun memberikan pandangan, ini kan pula mufti memberikan pandangan hasil daripada informasi yang digarap daripada pelbagai aspek.

“Risalah Bayan Linnas, Isu Cadangan Pindaan Akta 355 yang diterbitkan oleh Mufti WP adalah pendapat yang tuntas. Seruan beliau yang meminta semua ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong pindaan Akta 355 sangat dialu-alukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau: “Ini bukan politiking kepartian, tetapi ia adalah hasrat umat Islam seluruhnya untuk memperkasakan taqnin Syari’ah dan Mahkamah Syari’ah di Malaysia. Tanpa merujuk kepada aspek legislatif pun, sekurang-kurangnya menyokong tekad untuk mentaqninkan Syari’ah di Malaysia adalah satu kewajiban bagi mereka yang beriman.”

“Sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang mufti, sudah pasti pendapat yang dilontarkannya mengambil kira kepentingan agama dan umat Islam seluruhnya,” katanya lagi.

“Sebagai seorang ahli Parlimen Islam di Malaysia, roh untuk memartabatkan Islam dalam konteks legislatif sentiasa hidup, malah kita mesti sentiasa menghulurkan kerjasama bagi merealisasikan hasrat tersebut,” ujarnya.

Katanya: “Jangan terlalu berfikiran sempit dengan hanya memikirkan untung rugi politik parti semata-mata. Asasnya kita semua wajib menyokong dan bersama-sama memperbaiki jika terdapat kekurangan teknikal dan prosedural. Inilah jiwa besar negarawan Islam.” – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru