Saturday, October 8, 2022

Kuching semakin selamat, jenayah indeks menurun drastik – Ketua Polis Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Daerah Kuching mencatatkan pengurangan jenayah indeks yang berterusan, hasil komitmen anggota dan hubungan baik di antara polis dan orang awam.

Ketua Polisnya, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,070 kes jenayah indeks dicatatkan berbanding 1,293 kes untuk tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Turut mencatatkan penurunan ialah kes kecurian motosikal, yang mencatatkan 344 kes, berbanding 544 kes untuk tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Kita memang berhasrat mengurangkan kes-kes kecurian kenderaan ini, kerana ia merupakan penyumbang terbesar kes jenayah indeks di negeri ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Abang Ahmad berkata, pihaknya turut memfokuskan kepada kes-kes pecah rumah dan samun, yang kini tidak mengira waktu.

“Bagaimanapun, jenayah harta benda sebenarnya turut mencatatkan penurunan kes berbanding tahun lalu.

“Ia panas kerana mangsa lazimnya memilih untuk melaporkannya kepada media sosial selain kepada polis,” katanya.

Turut berkurangan ialah kes-kes menggunakan senjata api, yang mencatatkan sekitar 15 kes tahun ini, berbanding 28 kes tahun lalu.

“Jenayah bunuh pula hanya mencatatkan satu kes berbanding dua kes pada tahun lalu.

“Sementara sembilan kes rogol dicatatkan dalam tempoh berkenaan, menyamai rekod pada tahun lalu,” jelasnya lagi.

Kes-kes rogol ini katanya, agak sedikit rumit kerana mangsa lazimnya memilih untuk membuat laporan agak lewat kerana trauma dan malu.

Kata Abang Ahmad, pihaknya bekerja keras untuk terus mengurangkan kes-kes jenayah di daerah ini kerana mensasarkan ia sebagai persekitaran yang selamat.

“Kita mahu rakyat bekerja dan beriadah dengan selesa dan para pelancong dan pengunjung luar tidak dibayangi dengan persepsi negatif tentang bandar raya ini.

“Ia tugas yang berat namun tidak mustahil memandangkan kita mencatatkan penurunan signifikan indeks jenayah setiap tahun,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru