Wednesday, August 17, 2022

Kos RM40 juta untuk bina setiap kilometer jalan di tanah gambut Sarawak – Fadillah

Secara Rawak

KUCHING: Dengan kos sekitar RM40 juta untuk per kilometer, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mengakui usaha untuk membina jalan baharu di kawasan tanah gambut di negeri ini amat mencabar dan mahal.

“Untuk projek perintis 10 tahun lalu di kawasan Batu Kawa, kita membelanjakan RM20 juta per kilometer dan pada waktu ini ia akan meningkat sekali ganda.

“Sebabnya, kita perlu melakukan kerja-kerja asas tanah seperti menanam cerucuk, mengukuh jalan dan mengurangkan isipadu gambut, sebelum proses membina jalan dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Ke Arah Pembinaan Berdaya Tahan dan Lestari serta Pelancaran Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Pembinaan Tanah Gambut (CoPS) pagi tadi.

Justeru itu katanya, kerajaan terpaksa memikirkan kaedah baharu untuk menangani isu ini.

“Untuk laluan Lebuh Raya Pan Borneo misalnya, 70 peratus daripada laluan tersebut melalui tanah-tanah gambut dan kita perlu menghadapinya.

“Ketika ini, projek tersebut di jajaran Telok Melano dan Sematan, 70 peratus daripadanya adalah tanah gambut.

Kontraktor yang dilantik katanya, terpaksa mengeluarkan tanah gambut ini dan menggantikannya dengan pasir.

“Kita berharap ia akan bertahan dan dapat mendatangkan hasil positif,” katanya lagi.

Kata Fadillah, sebanyak 70 peratus daripada RM12 bilion yang dibelanjakan untuk proses pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dibelanjakan untuk membina jalan di sekitar laluan ini.

“Tanah gambut di Sarawak ini agak berbeza dengan Semenanjung dan Sabah.

“Ia lebih dalam, luas dan mencabar. Apabila kita mengalih secara besar-besaran pula, ia akan turut menimbulkan isu alam sekitar.

Kerana itulah katanya, CoPS yang digerakkan bersama-sama oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Malaysia (CREAM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Fakulti Kejuruteraan UNIMAS diharap dapat menangani isu ini.

“Kita berharap CoPS akan dapat menjadi pusat rujukan setempat untuk menyelesaikan dan membuat pengesyoran mengenai isu tanah gambut menerusi penyelidikan mereka,” katanya.

Pada majlis tersebut, Fadillah turut melancarkan Blueprint CoPS 2016-2020 selain mengumumkan penubuhan ‘International Geotechnical Research Centre for Centrifuge Facility’ di Universiti Teknologi Swinburne bermula tahun hadapan.

Fasiliti centrifuge bersaiz 250-g ton ini akan menyediakan simulasi model berskala besar mengenai permasalahan kepelbagai struktur tanah dan kejuruteraan geoteknikal, di samping menjalankan kajian berimpak tinggi pada struktur tanah.

Ia turut akan menjadi fasiliti centrifuge terbesar di Asia Tenggara dan akan dapat dimanfaatkan oleh para penyelidik geoteknikal dari seluruh pelosok Asia.

Untuk rekod, Sarawak mempunyai kawasan tanah gambut terbesar di negeri ini, dengan keluasannya dianggarkan 27,629.11km persegi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru