Tuesday, November 29, 2022

Biarlah Umno dan Pas bergasak di kerusi majoriti Melayu, kata Profesor Ridhuan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ahli akademik yang kontroversi, Profesor Ridhuan Tee Abdullah menyelar sikap MCA yang mendesak UMNO memulangkan balik tiga kerusi kepadanya,  iaitu Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju.

“Sejak bila pula kerusi ini menjadi milik bapak MCA?…Apakah MCA mampu untuk merampas kerusi Kuantan (60% Melayu) daripada PKR. Calon MCA kalah dalam PRU12,” katanya dalam kolum Sinar Harian.

Katanya: “Pemimpin MCA berkata, majoriti yang mereka menangi lebih tinggi daripada Umno. Masalahnya MCA tidak mengundi Umno ketika Umno bertanding. Sebaliknya, undi Umno solid kepada MCA. Siapa tipu siapa? Perkara yang sama berlaku di Gelang Patah.”

Ini akibatnya apabila Umno gagal untuk mentarbiah MCA supaya tahu dek untung. Terbaharu, MCA minta tambah kerusi di Sabah.

“Apakah MCA tidak sedar bahawa kerusi mereka yang di kawasan majoriti Melayu selama ini semuanya dipinjamkan? Kerusi tetap MCA, termasuk Gerakan dan MIC adalah di kawasan majoriti Cina,” tulisnya lagi.

Beliau hairan  bagaimana Parlimen Grik yang dihuni lebih 70 peratus Melayu boleh diberikan kepada Gerakan PRU12, dikembalikan kepada Umno PRU13.

“Apakah layak Gerakan meminta Umno kembali kerusinya pada PRU14 nanti?,” soal beliau.

Ridhuan Tee berkata, MCA boleh ambil kesemua kerusi di kawasan majoriti Cina, tetapi tidak harus kacau kawasan majoriti Melayu.

“Saya menulis sebegini seolah-olah saya tali barut atau dibayar Umno. Tidak. Tetapi sebagai rakyat marhaen dan penganalisis politik, saya mesti berkata benar, walau pahit,” katanya lagi.

Jika MCA sudah bersedia, kata Ridhuan Tee, lawanlah ultra kiasu di kerusi majoriti Cina seperti  Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Batu Gajah, Seputeh, Bukit Bintang, Cheras dan kawasan bandar.

“Biarlah Umno bergasak dengan Pas di kawasan majoriti Melayu,” tegasnya.

Katanya, jika MCA kacau, sudah tentu undi akan pergi kepada pembangkang. MCA, MIC dan Gerakan tidak perlu bimbang, jika kalah, jawatan senator, kemudian dilantik sebagai menteri dan timbalan pasti menanti.

“Formula lapuk menjadi sesuatu kawasan bapak dia yang empunya perlu difikirkan semula, jika Umno mahu menang PRU14,” ujarnya.

Katanya, laman web ultra kiasu membesar-besar ucapan Perdana Menteri  Singapura mengenai jaminan kepada etnik minoriti bahawa jawatan presiden Singapura akan diberikan kepada mereka.

“Kenapa tidak PM? Ada apa dengan jawatan presiden berbanding perdana menteri? Singapura sepatutnya menyelesaikan masalah minoriti Melayu di buminya sendiri. Beri kepercayaan minoriti menjadi PM, panglima tentera, ketua imigresen dan ketua polis,” kata beliau.

Selagi sikap sangsi dan sangka buruk ini wujud, ujar Ridhuan Tee, selagi itulah masalah kaum tidak dapat diselesaikan.

“Ingat! Singapura tidak dapat dipisahkan daripada sejarah kenegaraan Melayu.

Sekurang-kurangnya keadaan kita jauh lebih baik. Etnik minoriti diberikan jawatan tinggi walaupun bilangan sedikit. Ramai yang dilantik menjadi menteri, duta, KSU, ketua polis negeri dan sebagainya,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru