UPSR di SK Bario diteruskan, kertas peperiksaan selamat di Bilik Kebal SMK Bario

0
27

KUCHING: Meski blok bilik darjahnya musnah dijilat api petang semalam, namun 16 murid SK Bario akan tetap menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada pagi ini.

Mereka akan terlibat dalam peperiksaan tersebut di SMK Bario yang terletak bersebelahan, kata sumber Jabatan Pelajaran Negeri.

Katanya, ibu bapa tidak perlu risau kerana ketika kebakaran berlaku, kertas peperiksaan tidak diletakkan di bangunan sekolah berkenaan.

“Sebaliknya disimpan di dalam bilik kebal SMK Bario yang tidak terjejas pun.

“Oleh itu, semua bahan am peperiksaan iaitu kertas Jawapan Objektif Bermaklumat, Borang Kawalan Objektif Bermaklumat dan Helaian Tambahan terselamat.

“Penyelia Kawasan Bilik Keselamatan SMK Bario telah diminta untuk menyediakan pensel 2B, pemadam getah dan pembaris sekiranya calon-calon memerlukannya,” kata sumber itu lagi kepada sarawakvoice.com.

Ini merupakan kejadian kelima membabitkan sekolah di negeri ini pada tahun ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, keseluruhan blok bilik darjah sekolah berkenaan musnah dijilat api.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian, murid-murid sedang berada di dewan makan. – Sarawakvoice