Monday, June 27, 2022

S’wak bertuah miliki tiga tarikh keramat, 22 Julai, 31 Ogos dan 16 Sept, tak perlu pertikai tarikh Hari Merdeka – Rabiah

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Rakyat Sarawak tidak perlu terikut-ikut memperbesar isu tarikh Hari Kemerdekaan sebagaimana hangat diviralkan di laman sosial ketika ini.

Sebaliknya rakyat Sarawak beruntung kerana mempunyai tiga tarikh keramat yang perlu diingat dan disemai dalam jiwa setiap lapisan masyarakat.

Rubiah Wang-0000Berucap pada Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Jalur Gemilang dan Program Merdeka@Komuniti sempena Hari Kebangsaan Peringkat Bahagian Samarahan di Kampung Endap pada Ahad, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata tidak ada isu yang perlu dipertikaikan berkaitan tarikh tersebut.

Menurut Rabiah, perkara ini telah diperjelaskan dengan baik bukan sahaja di peringkat atasan malah di peringkat akar umbi.

Kata beliau lagi, “Kita perlu ingat Sarawak amat bertuah walaupun kita merdeka pada 22 Julai, tapi juga kita menyambut Hari Kebangsaan (31 Ogos) kerana kita bersama-sama membentuk Malaysia sebagai Persekutuan pada 1963.

Justeru, kita memiliki tiga tarikh keramat iaitu 22 Julai, 31 Ogos dan 16 September dengan ketiga-tiganya merupakan tarikh penting yang perlu dinobatkan dalam hati generasi muda masa kini agar ia terus diwarisi dan diingati generasi akan datang.

Tarikh 31 Ogos dipersetujui mengikut suara kolektif daripada 14 negeri untuk dijadikan tarikh perayaan kebangsaan yang dirai secara besar-besaran di seluruh Malaysia.

Tambah Rubiah lagi, “Kita tak boleh ikut tarikh kemerdekaan Sarawak sahaja kerana negeri lain pun mempunyai tarikh kemerdekaan yang tidak sama.

“Atas persetujuan inilah 31 Ogos dipilih sebagai sambutan perayaan besar-besaran bagi mengukuhkan semangat patriotik, cinta bertanggungjawab terhadap negara.

Rubiah memuji usaha Jabatan Penerangan dalam memainkan peranan penting memantapkan pemahaman rakyat tentang Hari Kebangsaan.

“Saya berharap penglibatan menyeluruh semua pihak dalam program sambutan Hari Kemerdekaan ini dapat mencetuskan kestabilan negara kita,” ujar Rubiah.

Hari ini, pihak yang lebih berbahaya daripada anasir subversif bergerak bebas di internet dan laman sosial menghasut rakyat dengan memainkan isu dan sentimen antinasional mempertikai Hari Merdeka di Malaysia.

Isu ini sepatutnya sudah selesai dan tidak lagi ditimbulkan di kalangan segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ini kerana Kerajaan Negeri sudah pun mengiktiraf dengan menyambut 22 Julai sebagai Hari Sarawak dan rakyat Sarawak mendapat cuti pada hari berkenaan.

Sementara, 31 Ogos yang merupakan tarikh kemerdekaan Sabah dan Semenanjung Malaysia telah diisytiharkan sebagai Hari Kebangsaan.

Tarikh ini tidak dipaksakan kepada Sarawak untuk menyambut kemerdekaan negeri, sebaliknya ia dijadikan sebagai hari perpaduan nasional, mengingatkan pentingnya integrasi nasional diteruskan.

Bayangkan setelah lebih 50 tahun merdeka dengan mengamalkan sambutan 31 Ogos setiap tahun sebelum ini, segelintir rakyat begitu mudah dipesongkan oleh anasir tidak bertanggungjawab memusuhi inisiatif kerajaan, inikan pula jika kita terus dibiarkan melupakan semangat integrasi nasional.

Musuh dalam selimut kini bergerak di rumah kita sendiri melalui talian online.

Sekalipun, selama ini 31 Ogos turut disambut sebagai memperingati kemerdekaan negara Malaysia ia bukan masalah.

Bahkan, negara maju sebesar Amerika Syarikat, kesemua 13 negeri dan kini 50 negeri bersekutu di dalamnya sudah lama akur dengan satu tarikh kemerdekaan 4 Julai 1776, lebih 240 tahun lalu.

Bijak pandai mereka tidak pernah mempertikaikan tarikh tersebut atas semangat; ada pihak yang patut bertolak ansur demi kemuafakatan sebuah negara kuasa besar dunia.

Dan ternyata ia bukan masalah.

Sementara, tarikh 16 September telah diputuskan sebagai Hari Malaysia. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru