Rakyat Limbang, Lawas mahu sempadan M’sia-Brunei terus dibuka hingga 12 malam, tutup 6 petang tak selesaikan isu seludup

0
3

LAWAS: Mengehadkan waktu operasi sehingga 6 petang di sempadan Malaysia-Brunei tidak akan menyelesaikan isu penyeludupan dan sebagainya, sebaliknya ia tidak memberi kemudahan kepada rakyat kedua-dua negara berusaha dalam banyak perkara.

“Saya sendiri berusaha beberapa tahun (lalu) memohon agar tempoh operasi sempadan dilanjutkan hingga 12 tengah malam bagi kemudahan penduduk di kawasan terlibat,” kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah mengulas berkaitan cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk penyeragaman operasi pintu sempadan agar ditutup sehingga pada 6 petang sahaja.

Awang Tengah berkata waktu operasi yang bermula dari 6 pagi hingga 12 tengah malam demi memudahkan rakyat kedua-dua negara berurusan telah diputus dan dipersetujui kedua-dua negara berjiran dalam mesyuarat persefahaman kedua-dua negara beberapa tahun lalu.

“Kita berterima kasih kepada kepimpinan negara dan Sultan Brunei yang meluluskan lanjutan waktu operasi hingga tengah malam sejajar dalam mesyuarat antara kedua-dua negara, ” Kata Awang Tengah selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Tanah Bahagian Limbang bersama Jabatan Tanah dan Ukur Bahagian Limbang dan agensi kerajaan terlibat di Hotel Seri Malaysia Lawas.

Awang Tengah berkata, masalah penyeludupan boleh diatasi dengan kaedah lain seperti mengenakan kawalan ketat di pintu sempadan.

Selain kelengkapan peralatan, tambahan anggota perlu ditambah bagi mengatasi masalah berkenaan.

Awang Tengah menambah, “kita melihat penyeragaman waktu operasi hingga 6 petang merupakan langkah yang tidak mengambil kira keperluan rakyat di kawasan ini.”

Menurut Awang Tengah, walaupun perkara ini hanya cadangan, ia menimbulkan reaksi negatif daripada rakyat di Limbang, Lawas, Miri, Brunei dan Sabah seterusnya memberi kesan kepada ekonomi, sosial dan politik. – Sarawakvoice.com