Pas serang peribadi Husam Musa sejak sertai Amanah

0
6

KUALA LUMPUR: Politik Islam atau apa-apa sahaja, harus bermula dengan mendidik jiwa kita sendiri, kata bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

“Salah satu ancaman jiwa murni adalah nafsu amarah kita. Kita sebenarnya dibelenggu oleh nafsu kita jika gagal mengawalnya, terjajah, terkepung – sebelum musuh politik kita menawan kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Husam yang juga Adun Salor, tidak semestinya kita akan berjaya menewaskan musuh kita, jika kita tewas kepada nafsu amarah kita, melayari hidup politik dengan perseteruan, persengketaan dan kesempitan dada setiap masa.

Husam berkata, beliau sedar bahawa keputusannya menyertai  Amanah telah memarakkan serangan peribadi yang semakin sengit.

Katanya; “Saya menasihati diri saya untuk memerima realiti politik Malaysia yang penuh dengan perseteruan bersifat peribadi dan kalah menjadi abu.”

“Hatta bagi yang melaungkan mereka membawa panji Islam yang murni dan politik matang lagi sejahtera, tidak terlepas dari kerasnya menembus larangan agama,” ujarnya.

“Saya suka menasihatkan penyokong atau peminat saya untuk kekal Cool. Cool adalah indah. Tanda kematangan. Bekal kejayaan,” tambahnya.

Bagi Husam, tidak satu pun yang dilakukan oleh makhluk di muka bumi ke atas makhluk lain yang tidak akan dibalas.

“Sejak agak lama, serangan ke atas saya oleh teman bekas wadah perjuangan saya adalah bersifat peribadi, tanpa fakta, tikaman belakang, bertopeng, semborono dan jauh dari akhlak mulia yang kita kenali,” katanya.

“Insya-Allah kita tumpukan kepada usaha merangka pelan menjadikan Kelantan sebagai model berkerajaan Islam yang moden, makmur, maju, berkebajikan, telus, berakauntabiliti, memelihara akhlak dan mensyukuri semua anugerah Allah untuk Kelantan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

“Sedikit sebanyak bakat kerdil yang ada pada saya selama memaju dan mempertahankan Pas selama ini, Insya-Allah saya akan gunakan untuk Amanah, sekalipun kita hanya mungkin berjaya sepuluh atau dua puluh tahun akan datang,” tambahnya lagi.

Beberapa pemimpin Pas sebelum ini berkata, penyertaan Husam ke dalam Amanah tidak menjejaskan Pas di negeri itu.

Bekas Penyelidik Pusat Kajian Strategik Kelantan, Syam Ghaz dalam satu kenyataan berkata, Pas Kelantan menang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kerana beberapa isu yang dibangkitkan oleh Husam.

Beliau berkata, isu utama yang dibawa dibawa oleh bekas exco kerajaan negeri  seperti naik taraf stadium, pembinaan lebuh raya dan tuntutan royalti petroleum berjaya menyedarkan rakyat Kelantan untuk terus memilih Pas ketika itu.

“Nak pandang rendah pada Datuk Husam silakanlah, yang pasti ambo (saya) dan pasukan ambo juga akan turun bantu musim ni,” katanya lagi. – Sarawakvoice