Tuesday, November 29, 2022

Pelajar ke Asia Barat, ikuti kurikulum khusus

Secara Rawak

GURUN:  Kajian perlu dilakukan bagi mengembalikan semula kursus khas kemasukan pelajar aliran agama ke institusi pengajian tinggi di Timur Tengah yang dimansuhkan sekitar 10 tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengenalan semula kurikulum berkenaan akan dapat membantu memudahkan kemasukan pelajar yang kini terpaksa melalui banyak kerumitan.

14225563_776493502489229_1991714718684261380_n

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri  Jamil Khir Baharom selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam diminta mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mewujudkan semula kursus itu.

“Saya sudah minta supaya Datuk Seri Jamil Khir selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam berbincang dan mengkaji semula kurikulum disediakan di Universiti Al-Azhar bagi tujuan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerai di sini Jumaat.

Kata Ahmad Zahid, kerajaan amat prihatin agar pelajar khususnya dari sekolah agama dan institusi pondok tidak berdepan banyak kesulitan ketika hendak belajar di negara terbabit.

Katanya,, dengan adanya kursus khas itu, pelajar aliran agama di negara ini tidak lagi perlu melalui kuliah peralihan di universiti di negara Timur Tengah yang melibatkan kos yang tinggi.

“Pelajar daripada sekolah pondok, sekolah agama atau maahad tahfiz yang mahu melanjutkan pelajaran di Timur Tengah khususnya di Universiti Al-Azhar mengikuti kursus khas ini dan melalui peperiksaan yang dikendalikan oleh universiti berkenaan,” ujarnya.

“Dari situ, mereka terus pergi ke Universiti Al-Azhar tanpa melalui kuliah peralihan sebagaimana yang berjalan sekarang ini di Universiti Al-Azhar kerana sistem itu  telah dihapuskan oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini,” katanya.

Selepas pemansuhan kursus khas itu, pelajar yang hendak masuk ke universiti tersebut berdepan kesukaran kerana terpaksa mengikuti kuliah tambahan dan ujian peralihan di negara terbabit bagi memungkinkan mereka melanjutkan pengajian di negara itu yang melibatkan kos yang tinggi.

“Perkara ini agak menyukarkan pelajar kita kerana dari segi pembelajaran bahasa Arab, ia boleh dibuat di Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata,  sekiranya kursus khas berkenaan diluluskan, kerajaan akan mengadakan rundingan dengan negara-negara terbabit bagi mengiktiraf kursus itu. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru