Malaysia perlu contohi rakyat Jepun dari segi kebersihan

0
63

TOKYO: Jepun negara yang moden, cantik dan teratur.

Negara 126 juta jiwa ini terkenal dengan kebersihannya. Sesiapa yang pernah berkunjung ke Jepun pasti kagum dengan disiplin rakyatnya berbanding dengan sikap dan perangai rakyat Malaysia.

Hakikatnya, rakyat kita tidak mempedulikan sangat kebersihan termasuk tidak pandai menggunakan tandas.

Dengan konsep tandas canggih yang dikenali sebagai bidet, Jepun memang dalam kelas tersendiri.

Bidet digunakan untuk membersihkan apa-apa yang patut dibersihkan selepas seseorang membuang hajat.

Bidet dicipta khusus bagi menyelesaikan masalah kebersihan dan lebih penting memberi keselesaan kepada pengguna, malah dapat menyalurkan najis kepada sistem lebih baik.

Di mana-mana bandar di Jepun termasuk ibu kota Tokyo, keadaan begitu bersih, teratur dan kemas.

Bagaimana  perancang bandar mereka bentuk bandar dan kota, patut dipelajari perancang bandar di Malaysia, terutama bandar baharu.  

Rakyat Jepun tidak membuang sampah sarap sesuka hati. Mereka begitu prihatin dengan kebersihan.

Meskipun di Jepun sukar untuk melihat tong sampah tetapi keadaan bandar tetap bersih.

Saya tak tahu bagaimana keadaannya di Malaysia jika tong sampah tidak ada. Dengan adanya tong sampah disediakan pun, keadaan begitu teruk, dengan sampah sarap bertaburan. Saya biasa melihat  di negara ini, walaupun tong sampah berdekatan, orang ramai tetap membuang sampah sesuka hati.

Di Jepun, tong sampah  untuk sampah khusus hanya disediakan di lokasi tertentu dan dikhaskan untuk membuang  bahan yang dapat dibakar dan tidak dapat dibakar.

Saya sempat melihat banyak lorong di belakang kedai dan didapati keadaannya sama dengan di hadapan kedai.

Kalau di Malaysia, lorong belakang tentu penuh dengan sampah.

Dengan ancaman zika sekarang, rakyat Malaysia perlu lebih berdisiplin dengan mencontohi rakyat Jepun.

Agama mengajar kita supaya menjaga kebersihan tetapi kenapa ajaran itu tidak diamalkan?

Agama utama di Jepun ialah Shinto. Tuhan Shinto benci akan kekotoran.

Mungkinkah ajaran tersebut menyebabkan mereka sentiasa mengutamakan kebersihan. Tetapi bukankah agama Islam juga mengajar umatnya supaya sentiasa mengutamakan kebersihan?

Amalan kebersihan sudah disemai mulai kecil termasuk di bangku sekolah dan sekolah tidak mempunyai tukang cuci di Jepun.

Pelajar diajar untuk membersihkan kelas dan kawasan sekolah.

Yang menarik, amalan itu ditunjukkan di mana-mana.

Rakyat Malaysia perlu berasa malu kepada diri sendiri termasuk pemandu kereta mewah tetapi membuang sampah dari tingkap kereta ke jalan raya tanpa rasa bersalah. – Sarawakvoice.com

AWANG BOLKIAH ALI di Tokyo, Jepun