Kalau Adenan ikut cakap Chong, Malaysia akan hancur

KUCHING: Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching Chong Chieng Jen dengan lantang menggesa Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berhenti meraikan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos yang disifatkan tidak mempunyai kepentingan sejarah untuk Sarawak.

Hakikatnya, jika Adenan ikut cakap Chong, Malaysia akan hancur dan rosak binasa. Cadangan Chong tidak masuk akal. Chong bukan tidak berakal, tetapi pendek akal.

Chong menganggap Sarawak hanya memperoleh kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963.

Menilai semuanya dengan wang, Chong menganggap Kerajaan membazir dana awam jutaan ringgit meraikan 31 Ogos setiap tahun.

Betapa pun, Chong seolah-olah tidak dapat menghargai nilai harga perpaduan nasional yang dapat diterapkan dalam hubungan perpaduan nasional selama ini.

Sekalipun 31 Ogos tidak disambut meriah menggunakan wang jutaan ringgit, namun semangat perpaduan nasional yang terakam di dalamnya tetap mempunyai erti.

Jika Chong serius menganggap setiap aktiviti sebegini sebagai membazir, beliau sepatutnya mencadangkan agar terus sambut 31 Ogos, tetapi tidak menggunakan “jutaan ringgit” sebagaimana sambutan Hari Ibu, Hari Air Sedunia dan sebagainya.

Mahukah Chong mencadangkan begitu? Rasanya tidak, kerana Chong sangat berminat memprovokasi dan sedang memberi tumpuan terhadap angka 31 itu sahaja sekarang ini.

Ia seolah-olah sepanjang setengah abad ini, tiada yang baik disumbangkan tarikh itu kepada negeri dan negara ini.

Tarikh 31 Ogos mempunyai signifikannya yang tersendiri yang turut membesarkan Chong sebagai warganegara dan dapat menjadikannya seorang wakil rakyat yang berwibawa.

Chong disanjung tinggi rakyat di kawasannya dan disegani oleh pemimpin lain yang melayannya sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai hak bercakap dan berperibadi.

Mungkin bukan kerana wang daripada perayaan itu, tetapi semangat yang tersimpan di dalamnya telah memberi banyak manfaat untuk kita semua termasuk Chong.

Tarikh 31 Ogos ternyata keramat, sekian lama mencatat dirinya sebagai hari perpaduan nasional yang memupuk semangat kekitaan di antara Sarawak dengan Sabah dan dengan Semenanjung.

Tarikh 31 Ogos sangat berjaya merapatkan integrasi nasional yang terpisah oleh sempadan darat dan laut yang tidak dapat digambarkan sekadar sebuah foto.

Kalaupun ia tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit bagi sesiapa yang memusuhinya, tarikh ini tetap menyimpan banyak kenangan Sarawak sebagai sebuah negeri yang berkongsi kekayaan sesama rakan kongsi dalam perkongsian pintar.

Mungkin bukan awak tetapi saya dan mungkin bukan engkau tetapi aku.

Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan dan semua bangsa di Malaysia, kita percaya jauh di sanubari mereka pasti mengakui keramatnya tarikh itu.

Kalaupun ada yang menganggap dirinya tidak dilayan secara adil, ia mungkin persepsi seperti persepsi dalam politik.

Ini kerana kalau kita menganggap diri kita tidak dilayan secara adil, ada orang lain dapat melihat kita telah pun mendapat layanan adil. Sementara, orang itu pula menganggap dirinya tidak mendapat nasib lebih baik untuk menjadi jurutera atau doktor atau seorang wakil rakyat

Bukankah kedua-duanya persepsi?

Tiada sesiapa menafikan pentingnya tarikh rasmi 22 Julai yang sudah diisytiharkan oleh Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Adenan yang sangat mendengar rintihan rakyat sebagai Hari Sarawak.

Jangan pula jika tidak mendengar gesaan agar Adenan mengabaikan 31 Ogos ini, maka Adenan dituduh pekak pula, tidak bertanggungjawab, tiada “semangat Sarawakian” atau “sengaja buat tak tahu”.

22 Julai hari keramat Sarawak dan rakyat diberi cuti umum untuk menikmati hak masing-masing. Syukur. Betapa pun, sejauh mana kita menghargai jasa dan semangat pejuang seperti Rosli Dhoby, Rentap dan sebagainya dalam memperjuangkan kemerdekaan itu.

Tidak berjasakah Tunku Abdul Rahman untuk menjinakkan hati British memudahkan kemerdekaan yang dikatakan tidak sama tarikhnya tetapi sama semangatnya yang tercatat pada tarikh 16 September kemudiannya?

Ya, tarikh 16 September dianggap sebagai Hari Malaysia yang semuanya memberi signifikan kepada rakyat yang mengakui dirinya rakyat merdeka negara ini.

Sejarah itu tidak terputus pada satu titik, ia bersambung ada rentetan dan klimaksnya. Kalau ada sesiapa mengatakan sejarah itu terputus, maka salah kita sendiri kerana tidak melihatnya atau kehilangan jejak plotnya.

Hari ini mungkin Chong berasa lebih selesa mengungkit hal tersebut berbanding 10 tahun yang lalu ketika semangat Malaysia kita menebal.

Sementara, jika rakyat kita boleh diajar banyak perkara tentang kehidupan termasuk menghafaz nama pemimpin atau penyanyi yang datang dan pergi, apa masalahnya pula mengingati hanya tiga tarikh keramat itu?

Chong mendakwa, meraikan ketiga-tiga tarikh berkenaan akan mengelirukan golongan muda Sarawak berhubung sejarah negeri itu.

Chong menjawab sendiri; 22 Julai ialah cuti umum di Sarawak dan disambut secara besar-besaran oleh Kerajaan Negeri sebagai Hari Sarawak.

Sarawak, Sabah, Singapura dan Tanah Melayu pula membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Sabah, ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara, mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963… dan Tanah Melayu merdeka 31 Ogos 1957… dan kini ia dianggap sebagai Hari Kebangsaan… dan diisytiharkan sebagai Hari Perpaduan Nasional.

Bukankah Hari Perpaduan Nasional itu bagus untuk aku dan kau, untuk awak dan saya?

Betapa pun, Tuan Chong sangat berhati mulia, dalam beliau memberi pandangan bernasnya, beliau dengan rendah hati sempat mengucapkan, “Pada masa sama, DAP Sarawak mengucapkan saudara-saudari kami di Malaysia Barat Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan.”

Tahniah dan kita percaya toleransi sebegini semuanya hasil sumbangan 31 Ogos yang sudah kita raikan lebih 50 tahun dan ia lebih tua daripada usia kita.

Esoknya, YB akan ke Parlimen Malaysia berjuang untuk rakyat kita sebuah negara berdaulat yang harmoni, kaya pelbagai budaya, berwarna bangsa dan agamanya. – Sarawakvoice.com