Tuesday, December 6, 2022

Torstein harumkan nama Sarawak terima Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik 2016

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Torstein Dale Sjotveit pada 26 Ogos lalu telah dianugerahkan Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik (APEA) 2016 bagi kategori Sektor Tenaga.

Torstein seb-0002Beliau merupakan salah seorang daripada dua penerima anugerah dalam kategori ini yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Anugerah ini diberikan sebagai mengiktiraf kepimpinan strategik dan dinamik Torstein dalam menerajui transformasi Sarawak Energy daripada sebuah syarikat utiliti tradisional kepada sebuah syarikat pembangunan tenaga moden dan tangkas, dengan prestasi kewangan yang kukuh, prestasi operasi dan pengembangan perniagaan melangkaui sempadan Sarawak.

Di bawah kepimpinan Torstein, Sarawak Energy telah mencatatkan pertumbuhan luar biasa dengan meningkatkan kekuatan tenaga kerja daripada 2,300 orang pada tahun 2009 kepada 4,500 hari ini.

Pada masa yang sama, beliau turut membantu kerajaan dalam merealisasikan pengurangan tarif elektrik untuk pelanggan industri, komersil dan kediaman kepada tarif terendah di Malaysia dan salah satu yang terendah di peringkat ASEAN.

Selain itu, Torstein turut memimpin pendekatan aktif syarikat dalam pengurusan aspek sosial dan alam sekitar bagi projek-projek dan operasinya selain berusaha ke arah mewujudkan pembangunan mampan.

Torstein seb-0001

Kejayaan lainnya adalah apabila Sarawak Energy mula mengeksport tenaga ke Kalimantan Barat, Indonesia bermula Januari tahun ini dan membangunkan pelan untuk projek-projek penyambungan tenaga dengan Brunei dan Sabah, sebagai sebahagian daripada konsep Power Grid ASEAN.

Syarikat utiliti itu juga telah diminta oleh pihak berkuasa Kalimantan Utara (KALTARA) untuk khidmat nasihat strategik dan kepakaran teknikal dalam pembangunan sektor tenaga di wilayah tersebut.

Torstein menerima anugerah itu bersama-sama pemimpin perniagaan terkemuka lain yang telah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai sektor termasuk Profesional dan Perkhidmatan Perniagaan, Telekomunikasi dan ICT, Pengangkutan dan Logistik dan Penjagaan Kesihatan dan Farmaseutikal & Bioteknologi.

Anugerah ini dianjurkan oleh NGO Enterprise Asia dan disokong oleh industri dan pemimpin kerajaan terkemuka di seluruh Asia Pasifik.

Ia diberikan kepada pemimpin perniagaan untuk kepimpinan yang cemerlang mereka.

Kriteria yang ditetapkan termasuklah keupayaan mereka memajukan perniagaan syarikat sehingga mencapai pertumbuhan positif setiap tahun di samping mengekalkan dan menyampaikan visi yang jelas, misi dan hala tuju berhubung masa depan perniagaan.

Mengulas mengenai anugerah itu, Torstein berkata: “Ia adalah satu penghormatan untuk menerima anugerah berkaitan dengan kecemerlangan, dan saya berkongsi dengan pasukan saya dalam Sarawak Energy.

“Ia merupakan satu perjalanan yang mencabar tetapi berbaloi untuk kita di Sarawak Energy setelah mencapai kejayaan penting dalam menyokong agenda pembangunan Kerajaan Negeri.

“Saya berharap ini adalah sesuatu yang semua rakyat Sarawak banggakan,” katanya yang akan mengakhiri tugasnya di negeri ini pada Oktober depan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru