KUCHING: Tiga tarikh penting berkaitan sejarah Sarawak yang perlu diingat oleh rakyat ialah 22 Julai 1963 dan 16 September 1963 serta 31 Ogos 1957.
Tarikh 22 Julai 1963 ialah Hari Sarawak yang menandakan Sarawak bebas daripada penjajahan British.
Bermula tahun ini, Kerajaan Negeri mengisytiharkan tarikh ini sebagai cuti umum.
Manakala, 16 September 1963 ialah Hari Malaysia, hari memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Tarikh 31 Ogos 1957 pula ialah Hari Kebangsaan yang perlu diraikan di peringkat nasional demi terus memelihara kemakmuran, keharmonian dan perpaduan negara.
Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata sangat penting memahami tiga tarikh penting ini.
Menurut beliau, perbezaan antara sejarah kemerdekaan Sarawak dengan penubuhan Malaysia perlu difahami sepenuhnya generasi muda masa kini.
“Sarawak mempunyai sejarah berlainan dengan Semenanjung Malaysia dan Sabah,” ujar Abdul Rahman berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan di Tebingan Boyan, Gersik, Sourabaya (GBS) di Petra Jaya.
Majlis Sambutan Hari Kebangsaan di Tebingan BGS disertai hampir 200 murid dari tiga sekolah rendah; Sekolah Kebangsaan (SK) Gersik, SK Pulo dan SK Matu Baru.
Abdul Rahman turut bersama-sama pelajar, guru dan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan. – Sarawakvoice.com