Polis ketatkan kawalan, awasi ancaman Daesh di seluruh negara termasuk di Bintulu sempena Hari Malaysia

0
3

ALOR SETAR: Kawalan keselamatan di seluruh negara sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini akan ditingkatkan berikutan wujudnya ancaman daripada kumpulan militan Daesh, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Menurutnya, berdasarkan kejayaan mematahkan cubaan mereka untuk menggugat keselamatan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini, pihak polis percaya saki baki kumpulan ini telah menetapkan tarikh sambutan tersebut untuk mewujudkan suasana huru hara dan kekacauan.

“Kita tidak menolak kemungkinan mereka hendak menampakkan kehadiran mereka dan merencanakan sesuatu,” katanya.

Sehubungan itu kata Noor Rashid, pihaknya sedang memantau rapi beberapa individu yang dikatakan berpotensi untuk mencetuskan gangguan dan bertindak apabila sampai masanya,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini hari ini.

Pihak polis sebelum ini menggagalkan cubaan melancarkan serangan pada malam Ambang Merdeka dengan penahanan tiga rakyat tempatan yang dipercayai anggota Daesh.

Ketiga-tiga suspek yang berumur antara 20 dan 27 tahun ditahan di ibu negara, Selangor dan Pahang menerusi operasi yang dijalankan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas pada Sabtu dan Isnin lepas.

Kesemua mereka merupakan warga negara Malaysia yang menganggotai sel yang sama dan menerima arahan daripada Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Kuala Lumpur, kuil Hindu di Batu Caves, Selangor serta balai polis atau mana-mana anggota polis dengan menggunakan bom tangan atau senjata api pada malam Ambang Merdeka 2016.

Turut dirampas daripada suspek di Selangor yang juga seorang pemandu lori berusia 20 tahun ialah sebutir bom tangan jenis K75, sepucuk pistol jenis CZ 2075 RAMI serta 24 butir peluru berukuran 9mm.

Dua lagi suspek merupakan seorang penjual daging berusia 27 tahun dan seorang penjual air berusia 20 tahun yang masing-masing ditahan di Pahang dan ibu negara Isnin lepas.

Ketiga-tiga mereka merancang berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas dengan bantuan Mohamad Wanndy selepas berjaya melancarkan serangan tersebut.

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada tahun ini akan berpusat di tapak Lapangan Terbang lama Bintulu, Sarawak. Ia dijangka turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sementara itu, dalam majlis serah terima tugas itu, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, Datuk Asri Yusoff menerima tugas selaku Ketua Polis Kedah yang baharu daripada Datuk Zamri Yahya berkuat kuasa hari ini. – Sarawakvoice.com