Friday, August 19, 2022

Jabatan baharu tangani fasiliti sukan di Sarawak jadi gajah putih – Karim

Secara Rawak

KUCHING: Sebuah jabatan baharu akan ditubuhkan  di bawah Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti bagi memastikan kemudahan-kemudahan dan fasiliti sukan terutamanya stadium dan gelanggang sukan untuk kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA XVIII)  yang lalu tidak menjadi “gajah putih”.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jabatan itu kelak akan turut bertanggungjawab untuk memastikan segala kemudahan sukan ini dapat diselenggara dengan baik serta dapat digunakan oleh pelbagai pihak, tanpa dibebani kerenah birokrasi.

7d811985-59e3-4033-98b0-4fc7963ab0e7

“Ia akan menyaksikan penggemblengan usaha di antara agensi kerajaan dan persatuan-persatuan yang terlibat.

“Misalnya Persatuan Badminton Sarawak membantu menyelenggara gelanggang-gelanggang badminton yang diwujudkan di Sibu.

Katanya, pihaknya percaya strategi ini adalah tepat kerana persatuan-persatuan ini merupakan kumpulan yang betul-betul terlibat secara mendalam dalam sukan tersebut,” katanya.

Kerajaan Negeri katanya, membelanjakan lebih RM400 juta sepanjang dua tahun lalu bagi membina baharu dan menaik taraf gelanggang-gelanggang sukan di negeri ini sebagai persediaan menjadi tuan rumah yang lalu.

Ini termasuklah membina Pusat Akuatik Petra Jaya dengan kos lebih RM100 juta selain membina gelanggang badminton, stadium hoki serta pusat menembak dan boling padang.

Karim ditemui selepas mewakili Kerajaan Negeri Sarawak menghantar kumpulan jemaah haji terakhir dari negeri itu berangkat ke Jeddah, malam tadi.

Seramai 150 jemaah dari Sarawak terlibat dalam penerbangan ini dan akan bergabung dengan 189 jemaah dari Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Karim berkata, Kerajaan Negeri juga kini sedang melakukan transformasi menyeluruh untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa baharu sukan negara dan mensasarkan gelaran juara SUKMA pada tahun 2018 di Perak.

“Sarawak merupakan juara selama 15 tahun berturut-turut dalam pelbagai jenis sukan peringkat umur Majlis Sukan-Sukan Malaysia.

“Jadi kita harus mengkaji dan mencari jalan agar wujud kesinambungan prestasi yang membolehkan atlet-atlet muda ini terus menyinar dalam SUKMA,” katanya.

Katanya, antara kaedah yang mungkin difikirkan termasuklah memantapkan latihan dan kalau perlu, melibatkan profesional dari luar untuk membantu melatih atlet-atlet muda ini menjadi juara di peringkat lebih tinggi.

Dalam kejohanan SUKMA yang lalu, Sarawak menduduki tempat kedua, dengan juara keseluruhan dimenangi Selangor menerusi perbezaan dua pingat emas. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru