Festival Kuih Bulan Antarabudaya Kuching 9-15 Sept di Pasar Lama, Tebingan Sungai

0
5

KUCHING: Mengekalkan tema “Sight, Sound and Taste” Persatuan Masyarakat Pasar Lama (OMCA) sekali lagi menampilkan Festival Kuih Bulan Antarabudaya Kuching Ke-15 bermula minggu depan, 9 hingga 15 September.

Bertempat di Jalan Carpenter dan Jalan Ewe pelbagai aktiviti diadakan sepanjang seminggu festival anjuran bersama Persatuan Komuniti Bahagian Kuching (FKDCA) dan Persatuan Cina Kuching Samarahan Serian (PCKSS).

Pengerusi festival, Datuk Sim Swee Yong  berkata, “kita mahu mengetengahkan sebanyak mungkin budaya etnik sepanjang penganjuran festival itu nanti.”

Menurut Sim, festival seperti ini membantu memantapkan sikap toleransi kaum selaras konsep perpaduan dalam kepelbagaian di negeri ini.

Sim mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan atas segala sokongan yang diberi sepanjang penganjuran festival tersebut.

Sim mempelawa kehadiran orang ramai dan peniaga memeriahkan festival kali ini.

Menurut sejarah, Perayaan Kuih Bulan atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh merupakan antara perayaan terpenting selain Tahun Baru Cina bagi masyarakat Tionghua.

Perayaan ini disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan, selain  hidangan kuih bulan itu sendiri.

Dari segi politik, ia disambut bagi meraikan kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Monggol pada akhir Dinasti Yuan.

Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari ke-15 pada bulan kelapan kalendar Cina iaitu sekitar akhir Ogos hingga akhir September pada kalendar Masihi.

Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa pada perayaan ini.

Kuih Bulan diperbuat daripada adunan manis berinti kacang merah atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin.

Kuih Bulan moden mengandungi apa sahaja ramuan yang digemari peminat Kuih Bulan. – Sarawakvoice.com