Thursday, August 11, 2022

Ancaman lanun jadikan perairan Sabah umpama Teluk Aden – Pemilik kapal

Secara Rawak

MIRI: Kawasan perairan Asia Tenggara terutamanya di perairan Selatan Filipina dan Sabah kini dikenal pasti sebagai laluan berbahaya bagi semua saiz kapal dagang, dan terdedah kepada ancaman lanun, rompakan dan penculikan.

87d96211-9c25-4df1-8c12-d12b9c291665

Presiden Persatuan Pemilik Kapal Sabah dan Sarawak, Yong Ing Hui ketika mendedahkan perkara ini pada Forum Pencegahan Aktiviti Lanun Lautan 2016 di sini semalam memberitahu, situasi yang berlaku di kawasan tersebut sebenarnya mirip dengan apa yang berlaku di Teluk Aden, Somalia.

“Lanun-lanun ini bukan sahaja merompak kapal, malah melakukan penculikan tanpa mengira status individu yang diculik.

“Mereka (lanun) tidak hanya mensasarkan kapal dagang dan kapal besar, tetapi turut mensasarkan kapal kargo dan kapal tongkang.

Kumpulan ini kata Ing Hui, amat berbahaya kerana selain dilengkapi senjata moden, mereka juga memiliki alat komunikasi canggih serta menggunakan bot-bot dengan enjin berkuasa tinggi.

Jelasnya, peningkatan kes serangan di kawasan perairan Asia Tenggara kebelakangan ini, begitu menggusarkan dan ia menuntut perhatian serius semua pihak, terutamanya agensi keselamatan, termasuk Malaysia.

Sehubungan itu, kata Ing Hui, para pemilik kapal seharusnya memahami modus operandi yang digunakan kumpulan lanun ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

affac207-2cad-4bb2-bbac-cba06aaf2a78

“Setiap pemilik kapal perlu berkongsi maklumat selain mencari kaedah komunikasi terbaik untuk memaklumkan kepada seluruh pengguna laut jika mereka berjaya mengesan kehadiran lanun-lanun ini di kawasan perairan yang dilalui.

“Ini untuk memudahkan pemilik kapal melakukan persiapan ketika berhadapan situasi cemas apabila kapal mereka diserang lanun.

“Walaupun dalam kes tertentu ada mangsa atau pemilik kapal yang tidak berminat mengenang kembali pengalaman pahit itu namun perkongsian maklumat iti amat penting,” katanya.

Perkongsian ini kata Ing Hui boleh membantu semua agensi berkaitan, termasuk pasukan keselamatan maritim untuk merangka strategi bersesuaian, selain pantas dan cekap dalam memerangi lanun.

“Kita akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk membolehkan Malaysia menjadi Pusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi Lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP).

“Ini membolehkan kita mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih menyeluruh, terutama dalam konteks perkongsian maklumat yang boleh membantu kita merangka strategi penguatkuasaan lebih berkesan dalam memerangi lanun,” katanya.

Selain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, pihak berkuasa lain di negara ini yang terlibat dalam usaha memerangi lanun dan rompakan laut ialah Tentera Laut Diraja Malaysia dan ESSCOM di pantai timur Sabah. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru