Nak kenal agensi pelancongan haram di S’wak, operasinya guna van putih atau bas tanpa nama syarikat

0
1

KUCHING: Bagaimana dapat mengenali pasti agensi pelancongan sah yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC)?

Biasanya agensi pelancongan yang sah menggunakan bas atau van tertulis nama syarikat, permit kenderaan dan lesen agensi semasa membawa pelancong mereka, bukannya van putih biasa tanpa nama.

Manakala, pemandu pelancong mereka memakai tanda nama dan berpakaian seragam.

Di pejabat agensi pelancongan berdaftar terbabit juga dapat dilihat nombor lesen yang dikeluarkan MOTAC pada papan tanda agensi mereka.

Demikian, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Sarawak, Suriya Charles Buas menjelaskan pada sidang media bersama Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga pada Selasa.

“(Jika keliru) mereka boleh menghubungi pejabat MOTAC Sarawak atau MATTA Sarawak bagi mendapatkan kepastian.”

Suriya menambah, setakat ini terdapat 268 agensi pelancongan di negeri ini yang berdaftar dengan MOTAC.

Dalam pada itu, orang ramai dan pelancong diminta berhati-hati dengan kegiatan agensi pelancongan haram yang menawarkan pakej melawat destinasi pelancongan sekitar negeri ini.

Menurut Suriya pihaknya mengesan agensi haram biasanya mengunakan van berwarna putih atau bas bagi membawa pelancong ke destinasi pelancongan terbabit.

Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini atau kemalangan maka pelancong terbabit tidak akan ada perlindungan insurans, kata Suriya.

“Kami tiada bilangan agensi pelancongan haram di negeri ini kerana sukar mendapatkannya, tetapi di mana sahaja aktiviti pelancongan diadakan akan terdapat kegiatan haram mereka,” katanya.

Namun, sekiranya terjadi sesuatu ke atas pelancong yang dibawa agensi haram tersebut, kejadian itu bukan sahaja menyusahkan ramai pihak, malah memburukkan nama industri pelancongan Sarawak.

Sehubungan itu Suriya meminta orang ramai melaporkan kepada pihaknya kegiatan agensi pelancongan haram atau aktiviti haram lain dalam industri pelancongan.

Melalui laporan orang ramai, kegiatan agensi pelancongan haram terbabit dapat dibasmikan dengan mempertimbang untuk membantu agensi mereka didaftarkan dan dilesenkan dengan MOTAC. – Sarawakvoice.com