Friday, October 7, 2022

Lelaki lapor polis dakwa diculik semata-mata ponteng kursus

Secara Rawak

KUCHING: Seorang tahi judi berhadapan risiko buang kerja selepas helah dia dirompak dan diculik oleh sekumpulan lelaki pada Sabtu berjaya dihidu oleh Polis Kuching.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, penjawat awam lelaki yang bertugas di Kuantan, Pahang itu mendakwa didatangi empat lelaki tidak dikenali ketika berada di Kuching Sentral sekitar jam 12.30 tengah malam, 27 Ogos lalu.

Kata lelaki berusia 20-an itu, kumpulan terbabit kemudian membawanya ke mesin pengeluaran wang (ATM) sebelum dipaksa mengeluarkan wang RM1,000.

Mangsa kemudian dibawa menaiki kereta Proton Wira sebelum dikurung di sebuah rumah kosong di Kota Sentosa sebelum berjaya melarikan diri sekitar jam 8 pagi Isnin lalu, dan membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Maong.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisoner Abang Ahmad Abang Julai yang mendedahkan kejadian itu berkata, polis bagaimanapun tidak termakan helah tersebut setelah mendapati laporan tersebut mengandungi unsur-unsur mencurigakan.

“Soal siasat lanjut yang kita jalankan kemudiannya mendapati mangsa sebenarnya perlu menghadirkan diri untuk kursus anjuran jabatannya di bandar raya ini, namun gagal hadir sejak Jumaat lalu.

“Malah tipu helahnya berjaya kita kesan apabila memdapati dokumen peribadi dan telefon bimbit yang didakwa dilarikan penjenayah ada dalam simpanannya.

“Justeru dia terpaksa mencipta alasan untuk tidak hadir kursus tersebut dan memilih untuk membuat laporan polis palsu diculik dan dirompak, kerana khuatir dikenakan tindakan tatataertib,” kata Abang Ahmad.

Jelasnya wang RM1000 yang didakwa dirompak oleh penjenayah sebenarnya habis digunakan untuk berjudi.

“Kami memandang serius akan kes-kes seperti ini dan lelaki terbabit yang sebenarnya berasal dari bandar raya ini kini ditahan lanjut di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuat laporan palsu.

Sabit kesalahan, suspek boleh berhadapan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Setakat ini kata Abang Ahmad, sebanyak empat kes laporan palsu direkodkan IPD Kuching.

“Pihak kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan laporan palsu dan menasihati orang ramai agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

“Kita melayan semua laporan secara serius dan perkara jenayah seperti ini tidak boleh dijadikan mainan dan bahan gurauan,” tegasnya

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru