Friday, October 7, 2022

Lat, Chong Wei, Pandelela, restoran nasi kandar Vanggey dalam ucapan merdeka Najib

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tema “Sehati Sejiwa” dikekalkan untuk sambutan Hari Kebangsaan 2016.

Sambutan merdeka di ibu negara tertumpu di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang meriah dengan percikan bunga api selain bergema laungan “merdeka” dan nyanyian lagu Negaraku.

Sekitar 5,000 hadirin terpesona dengan persembahan nyanyian Colour of Voice, kumpulan yang mengandungi peserta pelbagai bangsa menampilkan imej 1Malaysia di samping air pancut berirama.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, konsert ambang Merdeka #SehatiSejiwa dibanjiri lebih 5,000 pengunjung

Di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Amanat Merdeka ke-59 menyentuh tema Detik Kebersatuan atau “Moments of Unity”.

Ini merupakan kali ketiga Najib menyampaikan Amanat Merdeka secara langsung di hadapan khalayak dan disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen.

Ketika negara mencapai kemerdekaan ke-59 tahun ini, Najib mahu rakyat melihat kepada Detik Kebersatuan bagi memastikan negara kekal merdeka dan mampu menjadi negara bangsa unggul.

Perdana Menteri berkata Malaysia tidak tiba di titik kemerdekaan enam dekad untuk gagal, tetapi berhasrat untuk terus melangkah jauh dan dapat dipermegah di persada global, yang menjangkaui 2030.

“Jika ingin melihat Malaysia kekal merdeka, berdaulat, damai dan tersanjung oleh seantero dunia sebagai Bintang Timur yang berkerlipan cahayanya…”Moments of Unity” atau Detik-Detik Kebersatuan, perlu dicambah serta disemarakkan,” kata Najib.

Mengambil contoh sokongan padu rakyat Malaysia, najib mengambil contoh perlawanan akhir Datuk Lee Chong Wei berdepan pemain China Cheng Long, majoriti penyokong pemain negara terdiri daripada orang Melayu bersorak bersemangat menyokong Raja Badminton Malaysia itu.

“Saya dan isteri turut sama turun padang ke Dataran Putrajaya, menyaksikan saat mendebarkan tersebut. Inilah antara satu contoh, Moments of Unity, atau Detik-Detik Kebersatuan berasaskan sukan.

Justeru, Najib menggesa hadirin memberikan tepukan tahniah buat Datuk Lee Chong Wei, yang turut menghadiri majlis.

“Beliau, buat kali ketiga menghadiahkan Malaysia pingat perak pada kejohanan Olimpik 2016. Syabas, syabas Datuk Lee Chong Wei!” kata Najib.

Kerjasama Chong Wei dengan jurulatihnya Datuk Misbun Sidek dianggap indah dan ajaibnya Malaysia kerana semangat kebersatuan dan keeratan, merentasi sempadan kaum, saling membantu, saling menghargai.

“Bukan atas nama Orang Melayu, Orang Cina, Orang India, Orang Iban, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli, penduduk keturunan Siam, ataupun yang lain-lain, namun lebih mulia dan penting dari itu… semua berpadu atas nama Bangsa Malaysia!” katanya.

Dalam ucapan itu, Najib turut meminta hadirin memberikan tepukan gemuruh kepada atlet yang memenangi pingat pada Sukan Olimpik iaitu pemenang pingat perak acara beregu lelaki badminton Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dua “Ratu Terjun Negara” Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang turut merangkul perak dan jaguh lumba basikal negara Azizulhasni Awang yang memenangi pingat gangsa dalam acara keirin.

Perdana menteri turut mengambil beberapa contoh lagi berkenaan Detik Kebersatuan seperti Restoran Nasi Kandar paling terkenal di Ipoh yang popular dengan gelaran “Vanggey” dengan penjual nasi milik India Muslim beroperasi di restoran milik orang Cina dan pelanggan daripada pelbagai kaum.

Najib turut menyentuh tentang Kartunis Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid yang banyak menonjolkan watak pelbagai kaum dalam karyanya.

“Saban tahun apabila menjelangnya hari-hari perayaan besar terutama Aidilfitri, jendela silaturahim 1Malaysia yang menyuburkan Detik-Detik Kebersatuan melalui Budaya Rumah Terbuka begitu menyerlah, sehingga menggamit pelancong-pelancong antarabangsa,” katanya.

Najib berkata sejak merdeka kemajuan yang dicapai dari semasa ke semasa adalah demi rakyat Malaysia keseluruhannya, dan kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana pihak, sekalipun apa-apa kumpulan etnik yang kecil bilangannya.

“Pucuk pangkalnya… di mata dan di hati kita…setiap seorang dan setiap etnik rumpun dan keturunan, adalah 1Malaysia,” katanya mengambil contoh Pandelela yang berketurunan Bidayuh, satu etnik kecil di Sarawak, tetapi mampu menjadi jagoan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru