Thursday, September 29, 2022

Lagi kes kanak-kanak perempuan dilarikan pedofil, kali ini di Pantu

Secara Rawak

SRI AMAN: Polis sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki dilarikan selama empat hari sebelum diselamatkan polis pada malam semalam.

Mangsa yang berasal dari Kampung Abok, Pantu ditinggalkan bersendirian di Rumah Jangan, Kampung San Raba, Undop dekat sini sebelum diselamatkan oleh polis hasil maklumat orang awam.

Mangsa yang secara fizikal tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman, sebelum kedua-dua ibu bapanya dipanggil untuk membantu siasatan.

Berdasarkan maklumat mangsa, dia telah dibawa oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Alim menunggang sebuah motosikal menuju ke bandar Serian, dari rumahnya di Kampung Abok, Pantu pada petang Ahad lalu.

Di Serian, suspek telah membeli minyak motosikal sebelum menuju ke Engkelili dan bermalam di situ.

Pada Isnin, suspek bersama-sama mangsa meneruskan perjalanan ke Kampung San Raba, sebelum mangsa ditinggalkan di Rumah Jangan sekitar jam 2 petang, hingga mangsa terpaksa bermalam di situ.

Berdasarkan pengakuan mangsa, sepanjang tempoh tersebut, suspek telah bertindak “mengusiknya”.

Berdasarkan maklumat itu, mangsa telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya sedang menyiasat kes tersebut dan sedang berusaha mengesan individu tersebut, bagi membantu siasatan.

Ini merupakan kejadian keempat dalam tempoh sebulan membabitkan pedofilia di negeri ini.

Sebelum ini seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dilarikan dari sekolahnya di Miri, manakala kejadian kedua membabitkan kanak-kanak berusia 5 tahun di Matang, Kuching.

Kedua-dua kejadian membabitkan suspek yang dikenali mangsa. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru