Friday, December 2, 2022

Jepun rakan niaga utama Malaysia

Secara Rawak

TOKYO: Jepun terus menjadi rakan niaga dan pelaburan utama Malaysia.

Pada tahun lalu, Jepun merupakan rakan niaga keempat terbesar dengan nilai perniagaan berjumlah US$32.78 bilion.

Menurut Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris, Jepun merupakan sumber utama pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan.

“Kehadiran syarikat Jepun yang kukuh di Malaysia memperlihatkan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan yang disiarkan dalam akhbar The Japan News hari ini.

Ujarnya, hampir 1,500 syarikat berkaitan dengan Jepun memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

“Malaysia dan Jepun mengekalkan hubungan rakyat dengan rakyat dan hubungan budaya yang kukuh,” tambahnya.

Dalam hubungan ini, pertukaran hubungan antara rakyat dengan rakyat kedua-dua negara dilakukan melalui program seperti Rangkaian Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun-Timur Asia dan Program Kapal Bagi Belia Asia Tenggara.

Hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua negara juga dicapai melalui program diusahakan pihak swasta seperti IATSS Forum.

Kata Ahmad Izlan, tahun ini merupakan ulang tahun ke-59 bagi Hari Kebangsaan dan juga terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Jepun.

Menurut beliau, hubungan antara Malaysia dengan Jepun telah tumbuh dan berkembang dengan penuh makna dalam tempoh berkenaan.

“Pada hari istimewa ini saya ingin mengulangi pendirian Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan Jepun, ahli parliamen, pemain industri, akademia dan institusi lain bagi mengembangkan hubungan dan kerjasama kita demi manfaat kedua-dua negara,” katanya dalam perutusan itu lagi. – Sarawakvoice.com

AWANG BOLKIAH ALI di Tokyo

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru