Gadis Jepun kuasai bahasa Melayu, minat mi kolok

0
18

TOKYO: Bukan selalu dapat kita temui rakyat Jepun yang dapat menguasai bahasa asing. Kebanyakan daripada mereka hanya menguasai bahasa Jepun.

Eiko Akazawa_0000Namun, seorang rakyat Jepun yang kami temui di kota Tokyo, Eiko Akazawa, 23, menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Pelajar Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) menguasai bahasa Melayu dengan amat cekap baik dari segi tulisan mahupun lisan. Malah, penguasaan bahasa Melayu beliau boleh mengalahkan penguasaan sebahagian rakyat Malaysia sendiri.

“Sebenarnya saya memilih bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga kerana permintaan ibu saya, Misa Akazawa kerana di Jepun ramai orang muda suka belajar bahasa negara barat. Ibu saya kata, lebih baik belajar bahasa Asean kerana budaya Jepun banyak persamaan dengan budaya Asean,” kata Eiko kepada Sarawak Voice ketika ditemui di sini semalam.

Eiko mempelajari bahasa Melayu di fakulti Masyarakat Antarabangsa di TUFS selama empat tahun di bawah bimbingan Puan Faridah Muhd.

Eiko memberitahu untuk menguasai bahasa Melayu, beliau telah mengambil kelas bahasa Melayu setiap hari, membaca karya sastera, surat khabar Melayu atas talian, majalah, mendengar lagu serta menonton Youtube.

Mengenai cabaran mempelajari bahasa Melayu, Eiko berkata, “Sebutan agak sukar sedikit terutamanya perkataan yang banyak imbuhan, tidak banyak penutur bahasa Melayu, tidak terdapat banyak kamus yang baik dan bahan bacaan yang tidak cukup.”

Walau bagaimanapun beliau berkata, secara relatifnya bahasa Melayu mudah dikuasai selain memiliki keindahannya yang tersendiri.

Eiko pandai berpantun, menulis dalam tulisan jawi, berpidato, bermain drama, menari tarian tradisional Melayu malah lebih menarik lagi beliau dapat mendendangkan lagu Siti Nurhaliza iaitu ‘Cindai’ dan ‘Bukan Cinta Biasa’ serta lagu ‘Hijau’ oleh Zainal Abidin.

Eiko menyukai makanan Malaysia terutamanya makanan Sarawak seperti mi kolok, laksa sarawak dan teh C spesial.

Apabila beliau bercakap dalam bahasa Melayu, orang Melayu meminta beliau bercakap dalam bahasa Inggeris meskipun bahasa Inggeris mereka tidak berapa bagus.

Eiko berazam untuk terus meningkatkan kemahiran bahasa Melayunya bagi membolehkannya membuat penyelidikan dan menulis dalam bahasa Melayu di Asia Tenggara.

Di Jepun bahasa Melayu mulai mendapat tempat di hati pelajar universiti. Terdapat 25 universiti menawarkan bahasa Melayu di Jepun.

Dari segi peluang pekerjaan bagi mereka yang lulus bahasa Melayu di Jepun, lulusannya boleh berkerja sebagai pemandu pelancong, penterjemah bekerja di pejabat kedutaan di nusantara dan sebagainya. – Sarawakvoice.com

AWANG BOLKIAH ALI di Tokyo