Friday, September 30, 2022

Disangka kera, datuk tertembak cucu sendiri

Secara Rawak

JOHOR BHARU: Menyangka seekor kera mengganggu dusunnya di Kampung Mawai Baru dekat Kota Tinggi, warga emas, 79, tertembak cucunya sendiri.

Budak lelaki, 10, cedera di kepala dan badan dengan terdapat tiga kesan luka terkena peluru penabur dari senapang patah milik datuknya.

Bernama melaporkan kejadian berlaku sekitar 9.10 pagi ketika warga emas memantau dusunnya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata, sebelum kejadian, datuk kanak-kanak itu yang juga pengadu kes ini, ternampak satu objek bergerak dan menyangkanya seekor kera.

Datuk kanak-kanak tersebut melepaskan satu tembakan, kemudian dia terdengar suara menjerit kesakitan lalu menyedari dia tertembak cucunya sendiri.

Rahmat berkata dengan bantuan keluarga, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Mawai itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan mengeluarkan peluru di kepala dan badannya.

Rahmat berkata, polis merampas senapang patah jenis 32 Simson Double Barrel milik warga emas berkenaan dan menahannya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru