Lapor polis dirompak empat penjahat, dikurung dua hari, sebenarnya leka berjudi

0
3

KUCHING: Penjawat awam membuat laporan polis mendakwa dirinya ditahan empat lelaki bersenjatakan parang yang menariknya ke dalam kereta sebelum diarah mengeluarkan RM1,000 di mesin ATM.

Lelaki berusia 20-an itu dalam laporannya mengaku dibawa ke bangunan kosong sekitar Batu 7 dan dikurung dua hari pada 27 hingga 29 Ogos, semalam.

Memetik laporan Sarawakiana, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata suspek ternyata membuat laporan palsu.

Suspek berdepan undang-udang selain hukuman buang kerja kerana membuat laporan palsu mendakwa dirinya dirompak, sebaliknya dia sebenarnya berjudi.

Abang Ahmad berkata, tujuan suspek yang bertugas di Semenanjung Malaysia berada di bandar raya ini bertujuan mengikuti kursus, namun sebaliknya menghabiskan duit dengan berjudi.

Dalam sidang media Selasa, Abang Ahmad menasihati sesiapa jua agar tidak membuat laporan palsu kerana hal itu menganiayai diri sendiri, sehingga boleh didenda dan kemungkinan dibuang kerja sebagai penjawat awam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu kepada polis yang boleh boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Setakat ini, empat kes laporan palsu direkodkan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching. – Sarawakvoice.com