Thursday, December 8, 2022

Balai Polis Lanang tak pernah tutup walaupun lima minit, sentiasa buka 24 Jam sepanjang tahun

Secara Rawak

SIBU: Balai Polis di Jalan Lanang merupakan antara empat balai di Sibu dibina bertujuan perkhidmatan kepada masyarakat selama 24 jam sepanjang tahun.

Justeru, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahari Abdullah menafikan dakwaan Balai Polis Lanang tidak dibuka 24 jam.

Beliau berkata kepada pemberita, “kita tidak pernah tutup Balai Polis Lanang selepas tengah malam walaupun selama lima minit.

“Balai ini dibuka 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun,” katanya.

Bagaimanapun, seperti dilaporkan Bernama pintu pagar balai itu ditutup dari 12 tengah malam hingga 6 pagi keesokannya.

ACP Saiful mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Assek, Irene Chang dalam akhbar tempatan baru-baru ini.

Irene meminta pihak polis meneliti aduan orang awam yang mengatakan Balai Polis Lanang tidak dibuka 24 jam sehari.

Irene berkata seorang mangsa yang kecurian motosikal 5.30 pagi tidak berani memasuki balai polis tersebut untuk membuat laporan kerana terfikir balai polis tutup.

ACP Saiful berkata pintu pagar balai polis itu ditutup demi menjaga keselamatan balai dan anggota yang bertugas setelah berlaku beberapa insiden tidak diingini sebelum ini, memetik laporan Bernama.

Jelas beliau, meskipun pintu pagar tertutup, sentiasa terdapat anggota bertugas untuk membuka pintu pagar sekiranya terdapat orang awam yang mahu berurusan dengan polis. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru