Tidak sama mencabar presiden Umno di dalam dengan melawan parti Umno di luar — Najib

0
2

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno menganggap sesiapa yang mencabarnya sebagai Presiden dalam pemilihan parti tidak sama dengan melawan Umno atau parti.

“Kalau tidak setuju dengan saya sebagai presiden, lawanlah saya, tidak mengapa.

“Lawan ikut Perlembagaan parti, tetapi jangan sesekali mengkhianati parti dengan cara menubuhkan parti baharu,” kata Najib memetik laporan Utusan Malaysia semasa merasmikan persidangan perwakilan Umno di Kudat, Sabah.

Najib berkata, “Sebab itu kita pantang undur dalam perjuangan. Ini bukan lagi soal kuasa sahaja, ini adalah maruah diri kita sebagai anggota parti, maka ahli perlu bangkit menentang.”

Ucapan Najib dipercayai merujuk kepada tindakan bekas timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bersatu masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) selepas menghantar permohonan pada 9 Ogos lalu.

Bersatu berikrar bersama sekutu pembangkang yang lain melawan calon Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang.

Tun Mahathir dan Muhyiddin mengambil sikap berseteru dengan tokoh dalam Umno yang pernah didukung dan disokongnya setelah tidak sehaluan dengan Presiden parti yang juga Perdana Menteri. – Sarawakvoice.com