Friday, September 30, 2022

Pusat akuatik Petra Jaya ditukar nama sebagai iktiraf kecemerlangan Pandelela

Secara Rawak

KUCHING: Bagi mengiktiraf kejayaannya sebagai anak Sarawak pertama memenangi pingat perak Sukan Olimpik, pusat akuatik baharu yang terletak di Kompleks Sukan Petra Jaya akan dinamakan sebagai “Pusat Akuatik Pandelela”.

Menurut sumber, keputusan mengenai perkara itu telah diputuskan oleh kabinet negeri pada mesyuaratnya pada Khamis lalu dan dijangka akan diumumkan pada majlis sambutan kepulangan ratu terjun negara itu di Dewan Suarah Kuching pada Sabtu ini oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

“Kabinet negeri amat berbangga dengan pencapaian Pandelela yang berjaya memperbaiki pencapaiannya pada Sukan Olimpik 2012 di London.

“Empat tahun lalu, selepas muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang mengutip pingat Olimpik,Pandelela yang memenangi gangsa dalam acara individu untuk 10 meter telah dianugerahkan wang tunai RM60 ribu dan biasiswa untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Pandelela turut menerima pingat Johan Bintang Kenyalang daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Muhammad Salahuddin ketika itu selain habuan RM300 ribu daripada Kerajaan Pusat.

Pada kali ini Pandelela dijangka menerima habuan yang lebih baik, setelah memperoleh RM500 ribu, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini.

Pandelela juga kini layak menerima pencen bulanan RM3,000 daripada Majlis Sukan Negara susulan kejayaan itu.

Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Negeri, Datuk Sri Michael Manyin berkata, beliau yakin Ketua Menteri amat bermurah hati untuk mengumumkan insentif dan anugerah kepada Pandelela.

“Bukan saya yang akan mengumumkannya, ia merupakan penghormatan dan keistimewaan milik Ketua Menteri,” katanya ketika merasmikan pembukaan Megalanes Sarawak di Jalan Batu Kawa semalam.

Difahamkan pada majlis tersebut, lebih 500 atlet negeri akan terlibat dalam sambutan, dengan Pandelela dijangka akan disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum diarak dengan konvoi motosikal besar dan polis pengiring. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru